Pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus tumpang bangga dengan pencapaian terbaharu isterinya, pelakon Angeline Tan yang dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul baru-baru ini.
Jelas Sabri, 63, penganugerahan ini menjadi satu pengiktirafan besar terhadap perjalanan penghijrahan Angeline sejak memeluk Islam hampir dua tahun lalu.
Advertisement
“Alhamdulillah, pastinya sebagai suami, sayalah yang lebih bangga dengan penganugerahan yang diterimanya itu berbanding orang lain. Tapi bukan itu yang kami cari kerana saya mahu dia buat untuk dirinya sendiri.
"Anugerah itu adalah amanah baru buatnya tapi secara tidak langsung dapat bantu tingkatkan lagi kepercayaan dan keimanannya pada agama Islam,” katanya.
Terdahulu, Angeline dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori Saudara Baharu Cemerlang (Mualaf) pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M baru-baru ini.
Sabri mendedahkan, Angeline sering menerima jemputan untuk berkongsi pengalaman berhijrah, sama ada di masjid mahupun melalui video-video yang dihasilkan.
"Sebenarnya, dia banyak berkongsi dengan ramai kawan-kawannya yang bukan Islam untuk lebih memahami Islam kerana ramai yang keliru dan tidak faham mengenainya. Sebagai kawan, mestilah mereka bertanya sendiri padanya kenapa dia memeluk Islam?,” ujarnya.
Selain itu, Angeline juga aktif menyampaikan mesej agama melalui platform santai, menjadikan kisahnya sumber inspirasi kepada masyarakat.
Dalam perkembangan terbaharu, pasangan ini bakal sama-sama tampil di Kelate Charity Festival 2025 yang akan berlangsung pada 17 hingga 20 September di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Sabri bakal bergandingan dengan pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham sebagai pengacara serta terlibat dalam Malam Kebudayaan Dikir Barat, manakala Angeline pula akan memimpin program khusus wanita termasuk sesi borak santai dan perkongsian pengalaman penghijrahannya.