Penyanyi dan ahli kumpulan Dolla, Sabronzo menzahirkan penghargaan kepada para peminat atas doa serta sokongan yang diberikan terhadap perkahwinannya bersama suami tercinta, Ryan Fieret atau lebih dikenali sebagai Dash Berlin .
Dalam satu kenyataan, Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli berkata, dia dan keluarganya sangat tersentuh dengan perhatian serta kata-kata baik yang diterima sejak berita perkahwinannya dikongsikan kepada umum.
Advertisement
“Terima kasih atas semua liputan yang cantik dan kata-kata baik mengenai perkahwinan saya baru-baru ini. Saya dan keluarga sangat tersentuh dengan sokongan serta doa yang diberikan, khususnya daripada mereka yang telah mengikuti perjalanan saya sejak awal lagi,” katanya.
Sabronzo juga meluahkan rasa syukur kerana sokongan tersebut bukan sahaja menjadi penyuntik semangat dalam kehidupannya sebagai seorang isteri, tetapi turut menguatkan tekadnya untuk terus berkarya dalam industri hiburan.
“Saya benar-benar bersyukur dengan segala kehangatan dan aura positif yang dikongsi bersama. Semoga kita semua dapat terus bekerjasama serta mencipta lebih banyak memori indah pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Untuk makluman, Sabronzo dan Ryan selamat melangsungkan akad nikah kira-kira dua minggu sebelum majlis resepsi romantis mereka yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 25 September 2025.