Ringkasan AI
- Sabronzo dari kumpulan Dolla memilih Bali sebagai lokasi majlis persandingannya bersama suami, Ryan Fieret, pada September lalu.
- Mereka memilih Bali kerana minat peribadi dan lokasi unik di tepi tebing laut yang sesuai untuk majlis perkahwinan.
- Sabronzo lebih menjaga privasi dan hanya berkongsi berita baik mengenai perkahwinannya apabila tiba masa sesuai.
- Mereka telah bernikah dua minggu sebelum majlis resepsi di Bali, dan hubungan mereka mula dihidu peminat sejak Mei lalu melalui interaksi di media sosial.
Ahli kumpulan Dolla, Sabronzo berkongsi sebab dirinya dan suami, Ryan Fieret memilih Bali, Indonesia sebagai lokasi majlis persandingan mereka pada September lalu.
Menurut pemilik nama Wan Sabrina Wan Rusli ini, dia dan suami merasakan Bali sebagai tempat paling sesuai untuk meraikan hari bahagia memandangkan mereka begitu meminati destinasi tersebut.
Sabronzo berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi tayangan perdana muzik video lagu terbaharu Dolla berjudul ‘Question’ yang diadakan di The Campus, Ampang pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai perkahwinannya yang mengejutkan ramai pihak, Sabronzo menjelaskan bahawa dia lebih memilih untuk tidak menyentuh soal peribadi memandangkan dirinya seorang yang bersifat menjaga privasi.
"Saya agak privasi orangnya. Kalau bab peribadi seperti perkahwinan dan suami, saya lebih memilih untuk berkongsi berita baik (perkahwinan) sahaja.
"Apabila masanya sudah sesuai untuk saya kongsikan, saya tetap akan berkongsi kepada semua," perjelas Sabronzo.
Sekadar info, Sabronzo menyorot perhatian apabila memuat naik foto perkahwinannya bersama Ryan pada 29 September lalu.
Difahamkan, Sabronzo dan Ryan telah bernikah dua minggu sebelum mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Bali pada 25 September lalu.
Terdahulu, peminat mula menghidu hubungan Sabronzo dan Ryan sekitar Mei lalu selepas dua pemuzik itu dilihat saling berbalas komen di media sosial.