Skip to main content

Hiburan

Sambutan Luar Biasa! Tiket Grand Finale PGL Hampir Licin Dalam Lima Minit, Tiara Jacquelina; – “Saya Sendiri Hampir Tidak Percaya…”

Sambutan Luar Biasa! Tiket Grand Finale PGL Hampir Licin Dalam Lima Minit, Tiara Jacquelina; – “Saya Sendiri Hampir Tidak Percaya…”

Sekilas

  • Tiket tambahan Grand Finale Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 hampir habis dalam masa lima minit selepas jualan dibuka, dengan hanya 11 tiket berbaki.
  • Pengasas Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina, mengucapkan terima kasih atas sokongan luar biasa peminat dan sedang merancang kemungkinan jelajah kebangsaan serta pementasan semula pada 2027.
  • Muzikal ini akan diteruskan di Kuala Lumpur sehingga 17 November sebelum dibawa ke Singapura, dengan jualan tiket yang juga hampir habis di sana.
Advertisement

Tiket persembahan tambahan Grand Finale Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGL) hampir habis terjual dalam tempoh lima minit selepas jualan dibuka pagi ini, dengan hanya 11 tiket berbaki ketika lebih 5,500 peminat masih beratur secara dalam talian.

Sambutan tersebut menyusuli penjualan kira-kira 23,000 tiket bagi musim asal Kuala Lumpur yang habis dalam masa dua jam.

Pengasas Enfiniti yang juga pengarah pementasan tersebut, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, sambutan luar biasa itu membuatkannya terharu, namun pada masa sama memikirkan peminat yang belum berjaya mendapatkan tiket.

“Saya sendiri hampir tidak percaya apabila bangun pagi tadi dan mendapat berita bahawa tiket persembahan tambahan Grand Finale kami hampir habis terjual dalam masa hanya lima minit.

“Perasaan saya bercampur baur. Terharu, bersyukur, gembira, tetapi pada masa sama hati saya tersentuh memikirkan ribuan peminat yang masih belum berjaya mendapatkan tiket,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tiara, penghargaan penonton terhadap produksi tersebut membawa makna lebih besar berbanding angka jualan tiket semata-mata.

Katanya, perkongsian penonton dalam media sosial memperlihatkan rasa bangga terhadap kisah tempatan yang dihidupkan oleh bakat Malaysia.

“Ada yang pernah menonton PGL 20 tahun lalu dan kini kembali bersama anak-anak mereka. Ada pula yang baru pertama kali mengenali kisah ini, malah ada juga yang baru pertama kali menonton teater secara langsung.

“Ada pula yang kata mereka langsung tidak boleh ‘move on’. Mereka panggilnya ‘demam PGL’, asyik berkongsi babak, lagu dan detik kegemaran berulang kali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiara memaklumkan Enfiniti sedang meneroka kemungkinan mementaskan semula muzikal tersebut di Kuala Lumpur pada 2027, mungkin seawal April.

Pihaknya turut memulakan perbincangan dengan pihak berminat di beberapa negeri bagi meninjau kemungkinan mengadakan jelajah kebangsaan susulan permintaan peminat di luar Lembah Klang.

“Kami menerima begitu banyak mesej daripada peminat di luar Kuala Lumpur yang meminta supaya PGL dibawa ke negeri dan bandar mereka.

“Bukan semua orang berpeluang datang ke Kuala Lumpur, mengatur penginapan dan meluangkan masa sepanjang hujung minggu semata-mata untuk menonton sebuah persembahan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Tiara menegaskan perancangan berkenaan masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.

“Produksi sebesar ini memerlukan panggung yang sesuai, kemudahan teknikal, rakan kerjasama dan sumber yang mencukupi.

“Ke mana sahaja PGL dibawa, kami mahu memastikan penonton tetap dapat menikmati mutu dan keajaiban persembahan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Tiara berharap sambutan terhadap PGL dapat memberi keyakinan kepada penerbit, penaja dan pelabur untuk menyokong lebih banyak karya tempatan.

“Saya berharap ia akan memberi semangat kepada lebih ramai penerbit Malaysia untuk berani mencuba, mengambil risiko, melabur dalam cerita kita sendiri dan menghasilkan karya yang mencabar batas kemampuan serta imaginasi kita,” ujarnya.

PGL meneruskan pementasan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) sehingga 17 November ini sebelum dibawa ke Esplanade – Theatres on the Bay, Singapura.

Menurut Enfiniti, lebih 24,000 penonton dijangka menyaksikan muzikal tersebut menjelang penghujung musim Kuala Lumpur, manakala jualan tiket pementasan di Singapura juga hampir habis.

Anda mungkin berminat dengan

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

SHEGLAM Sun Sculpt Matte Liquid Contour

SHEGLAM Sun Sculpt Matte Liquid Contour

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

ADIDAS TRIONDA SPAIN AWAY CLUB FOOTBALL

ADIDAS TRIONDA SPAIN AWAY CLUB FOOTBALL

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

Must Watch Video

Advertisement