Sekilas
- Syed Saddiq berkongsi momen menyampaikan biskut raya hasil air tangan Bella Astillah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tidak sempat bertemu di Absolute Fest.
- Beliau turut berterima kasih kepada Anwar atas masa dan nasihat berharga dalam perbincangan isu semasa negara.
- Netizen mula membuat spekulasi mengenai hubungan Bella dan Syed Saddiq, termasuk kemungkinan kad jemputan kahwin turut disampaikan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berkongsi momen dirinya menyampaikan biskut raya yang disediakan sendiri oleh selebriti, Bella Astillah kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), pemilik nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini berkata, dia tidak sempat bertemu Anwar sewaktu festival jualan raya, Absolut Bazaar yang bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) atas urusan kerja.
“Dari Muar terus ke Putrajaya untuk berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Minggu lepas masa YAB PM datang ke Absolute Fest dan sempat jumpa Bella Astillah , saya pula tak dapat bersama sebab tengah LIVE selling dengan Dr Cardin, demi cari rezeki tambahan,” tulisnya.
Lebih menarik, Syed Saddiq memaklumkan bahawa biskut raya itu sangat istimewa kerana ia merupakan air tangan Bella Astillah.
Syed Saddiq turut berkongsi video dirinya yang membantu Bella meletakkan hiasan di atas biskut raya tersebut.
“Hari ini dapatlah saya sampaikan sendiri kuih raya yang Bella buat. Freshly baked, straight out of the oven.
“Saya? Setakat tabur cherry dekat atas saja, itu pun dah kira maksimum bakat,” selorohnya.
Dalam masa yang sama, Syed Saddiq sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anwar atas kesudiannya meluangkan masa untuk bertemu bagi membincangkan beberapa isu semasa.
“Terima kasih YAB PM atas nasihat yang sangat bermakna, dan kerana sudi meluangkan masa untuk bertukar pandangan tentang isu-isu semasa.
Saya amat menghargai masa tersebut, lebih-lebih lagi ketika YAB PM sedang mengimbangi pelbagai cabaran besar, daripada konflik geopolitik di Timur Tengah, kepada usaha menstabilkan ekonomi negara, hingga persiapan rang undang-undang reformasi di Parlimen,” ujarnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen membuat spekulasi mengatakan Syed Saddiq bukan sahaja menghantar biskut raya malah turut memberikan kad jemputan kahwinnya bersama Bella.


Terdahulu, Anwar memuat naik video momen dirinya yang sempat berjumpa dengan Bella tanpa keberadaan Syed Saddiq di Absolute Fest, hujung minggu lalu.
Pertanyaan Anwar ketika pertemuan itu turut membuatkan ramai warganet berteka-teki mengenai Bella dan Syed Saddiq yang didakwa bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Sumber: Instagram Syed Saddiq