Sekilas
- Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, akan menyertai konsert tradisional sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, Gema Bumantara, pada Oktober 2026 di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.
- Kedua-dua penyanyi legenda ini akan berduet lagu ikonik 'Hati Kama' selepas 25 tahun, memenuhi permintaan peminat yang sudah lama menantikan kolaborasi mereka.
- Konsert ini bertujuan memartabatkan muzik irama tradisional Malaysia dengan pelbagai genre dan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia, manakala tiket sudah mula dijual secara rasmi.
Umum mengetahui Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris bakal menyertai konsert sulung tradisional milik Datuk Seri Siti Nurhaliza, Gema Bumantara yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.
Siti menyifatkan penganjuran konsert tradisional julung kali dalam kariernya selepas tiga dekad tidak lengkap tanpa kehadiran Noraniza Idris yang akrab disapa Kak Ani, khususnya mereka memiliki sebuah lagu fenomena, Hati Kama.
Memberi respons mengenai lamaran ikut serta dalam Gema Bumantara, Kak Ani tanpa berselindung terkejut dan bersyukur kerana akuinya jauh daripada jangkaan menerima jemputan menyanyi bersama, beliau berfikir panggilan yang diterima daripada pihak SN Legacy Sdn Bhd sebagai undangan menjadi penonton.
“Secara jujurnya, sebenarnya saya tidak mengharap tinggi sangat. Macam orang kata bila peminat semua tanya, menyanyi ke tidak di konsert Siti, saya tidak terlalu berharap.
“Jujurnya saya nak beli tiket, siap mahu battle tiket dan mahu beli cepat sebab takut habis. Tapi kemudian saya dapat panggilan daripada pengurus Siti, Rozie.
“Tapi bila Rozie hubungi buat pertama kali, memang tidak sangkalah. Sebab ingat mungkin oh jemputan untuk penonton. Saya ingat rasa macam tu. Sekali rupanya bila dia maklumkan untuk sepentas dengan Siti menyanyi lagu Hati Kama, saya rasa macam... bukan terkejut, dia macam 'Ya Allah, betul ke ni?' macam itulah.
“Saya setuju on the spot. Alhamdulillah kerana telah sekian lama rindu sebenarnya nak menyanyi lagu Hati Kama bersama Siti . Cuma kita belum berpeluang. Jadi bila diberi peluang rasa sangat bersyukur. Jadi bila hari ini kita dapat bersama ini adalah satu ketetapan yang saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih sangatlah kepada Siti,” luahnya sewaktu ditemui media pada majlis sidang akhbar dan pengenalan artis jemputan di konsert tersebut di ibu kota, baru-baru ini.
Ironi penampilan dua figura hebat tanah air di atas satu pentas selepas 25 tahun tidak berduet pada lagu Hati Kama yang cukup ikonik hasil sentuhan Allahyarham Pak Ngah memang dinantikan ramai peminat.
Sedar dan mengaku membaca permintaan peminat di laman sosial yang ingin melihat mereka bersatu di atas pentas selepas Hati Kama dipasarkan sejak tahun 1999, Siti memberitahu memang telah menetapkan Kak Ani sebagai artis jemputan wajib ada dalam Gema Bumantara.
“Saya baca dan mendengar permintaan peminatlah, netizen yang di ruangan komen tu memanglah macam-macam permintaan mereka. Tapi memang sudah beritahu dan tetapkan, pertama, mesti ada Kak Ani.
“Saya juga cuma cari waktu yang paling sesuai dan konsert terbesar ini adalah waktu yang paling paling sesuai untuk sama saya raikan semua yang memperjuangkan irama
tradisional. Bila saya kata konsert tradisional terbesar, sayairasa memang tak lengkaplah kalau tak ada Kak Ani. Terutama buat peminat-peminat yang saya tahu mereka memang rindukan persembahan lagu Hati Kama versi original,” ujar Siti.
Siti malah mengatakan selama 25 tahun tidak berduet Hati Kama bersama Kak Anii, ia bukan perkara yang perlu dipandang negatif.
“Sebenarnya macam Ini tak ada apa pun yang sepatutnya dinegatifkan bagi saya. Cuma masa yang menentukan Kak Ani dan saya, untuk kita bergabung semula. Tak ada pandangan-pandangan negatif tidak ada, cuma tinggal macam saya katalah saya rasa waktu yang paling sesuai adalah konsert tradisional ini untuk kita angkat budaya kita angkat bersama-sama.
“Sebab lagu tradisional ni, lagu dalam konsert ini, Kak Ani saya nampak nampak beliau sebagai satu bentuk rujukan dan sesuai untuk generasi pelapis kita untuk hadirkan diri ke konsert ini. Ini bukan sekadar hiburan Dato' Seri, dia sebagai satu rujukan yang boleh dijadikan sejarah dalam industri.
"Jadi saya harap mereka yang datang menonton konsert ini menjadi saksi kepada perhimpunan irama yang perlu kita banggakan. Bukan irama luar ada masuk ke Malaysia, artis barat semua boleh kita raikan tapi irama kita sendiri ni kita kena raikan juga jangan dilupakanlah,” jelas Siti lagi.
Gema Bumantara yang dijadual berlansung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober 2026, dianjurkan bersama oleh CTDK Global Ventures Sdn Bhd dan SN Legacy Sdn Bhd bagi memartabatkan serta mengangkat muzik irama tradisional ke mercu tanda yang lebih tinggi.
Konsert di bawah pimpinan pengarah muzik muda, Cha’an ini bakal menyaksikan irama warisan bergema menerusi alunan pelbagai genre seperti Zapin, Joget, Asli, Inang dan klasik.
Dengan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama barisan pemuzik profesional tanah air.
Tiket-tiket pada harga RM899, RM699, RM569, RM469, RM369, RM300, RM200, RM100 dan RM70 serta tiket RM500 untuk orang kurang upaya (OKU berkerusi roda) berharga RM500 sepasang (bersama pengiring) sudah boleh dibeli menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my.