Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob melamar Datuk Seri Vida dengan kejutan dron di KLCC yang menarik perhatian ramai orang ramai malam tadi.
- Persembahan lamaran itu melibatkan 1,200 dron dan cincin tiara bernilai RM7,000, dengan kos keseluruhan sekitar RM500,000.
- Orang ramai berkongsi momen tersebut di media sosial, ada yang teruja dan membandingkan kejutan mewah itu dengan pengalaman romantik mereka sendiri.
Bukan hanya pasangan yang dilamun cinta, orang ramai turut teruja menyaksikan persembahan dron sempena lamaran cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob terhadap usahawan, Datuk Seri Vida di sekitar KLCC malam tadi.
Menerusi perkongsian di Threads, beberapa individu merakamkan momen ketika menyaksikan kejutan tersebut, malah ada yang sanggup berhenti di tepi jalan untuk melihatnya.
“Sanggup berhenti tepi sebab ada yang melamar tengah-tengah Kuala Lumpur malam ini. Siapakah wanita bertuah ini sebab adik-adik aku bising macam dia yang kena lamar,” tulis seorang pengguna.

Selain teruja dengan persembahan dron berkenaan, ada yang berseloroh membandingkan kejutan tersebut dengan perkara kecil yang sudah cukup menggembirakan mereka.
“Weh, romantiknya! Hadiah lamaran untuk DSV daripada Datuk Fazley siap guna dron. Kita ini parcel sampai depan rumah pun dah kira romantik sangat dah. Apa lagi dapat dron macam ini.
“Apa pun, tahniah Datuk Seri Vida dan Datuk Fazley,” kongsi seorang lagi pengguna.

Dalam pada itu, seorang individu menyifatkan lamaran tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk turut menyaksikan detik istimewa pasangan berkenaan.
“Macam ini rupanya orang kaya buat lamaran, siap guna dron. Lelaki pula romantik bukan main.
“Untunglah si dia, sekali dilamar semua jadi penonton. Seorang wanita bahagia, seluruh kaum wanita pun tumpang gembira,” tulisnya.
Terdahulu, Fazley melamar Vida secara rasmi ketika acara 11.11 Mega Stock Live dengan kejutan istimewa bernilai kira-kira RM500,000.
Kejutan tersebut termasuk persembahan 1,200 dron serta sebentuk cincin tiara berharga RM7,000.
Sumber: Threads