Skip to main content

Hiburan

Satu Kata Untuk Sheila Majid 40 Years In Music, Sheila Anda Legenda

SHEILA MAJID

Ringkasan AI

  • Datuk Sheila Majid meraikan 40 tahun kerjaya seni dengan konsert bertajuk Sheila Majid 40 Years In Music di Axiata Arena Bukit Jalil.
  • Konsert tersebut menampilkan lagu-lagu klasik Sheila yang segar dan berkualiti tanpa perlu penampilan glamor berlebihan.
  • Sheila memilih warna rubi sebagai simbol usia 40 tahun dalam kariernya dan mengekalkan gaya minimalis sepanjang persembahan.
  • Konsert ini turut disokong oleh pemain muzik handalan seperti Mac Chew, Jenny Chin, dan Tohpati serta pasukan produksi profesional.
  • Sheila Majid akan membawa konsert ini ke Singapura pada tahun 2026 dan mengajak peminat hadir untuk merasai pengalaman tersebut secara langsung.

Definisi sebenar lagu Legenda nukilan pemikir seni hebat tanah air, Datuk Habsah Hassan dan Fauzi Marzuki yang dihasilkan pada tahun 1990 silam kini benar-benar terpakai buat penghibur yang menghidupkan karya tersebut - Datuk Sheila Majid.

Sheila adalah legenda yang perlahan-lahan menyerap rangkap lagu tersebut ; yang antaranya berbunyi - ‘Sejuta bintang di angkasa, Sinarnya mempesona, Sebutir bintang di taman seni, Cahayanya berseri, Biar bertahun masa beredar, Satu wajah satu nama takkan pudar’.

Di atas panggung dengan nama Sheila Majid 40 Years In Music, beliau memaknai erti sebenar dedikasi seorang penghibur yang bukan tentang ‘kosmetik’ glamor semata-mata tetapi disiplin, kecintaan dan karya yang tepat telah membawa dirinya mengembara dengan seluruh pengalaman yang luar biasa.

Ironi, Sheila juga memberi definisi minimalis (meminjam perkataan masa kini) yang merujuk kepada kesederhanaan dalam pelbagai aspek.

Beliau hanya memilih penampilan dengan warna yang melambangkan usia 40 tahun kariernya iaitu warna rubi (merah pekat, batu delima).

“Warna rubi adalah warna sempena 40 tahun jadi saya persembahakan ia pada Sheila Majid 40 Years In Music ini,” ujar Sheila yang ditemui media secara santai usai konsert anjuran Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show.

Terdahulu dalam durasi sekitar dua jam, figura berusia 60 tahun ini memukau ribuan peminat di Axiata Arena Bukit Jalil dengan karya seni yang berkualiti dan spektakular tanpa perlu membebankan sosok seorang Sheila Majid dengan perkara seperti penampilan ‘yang aneh-aneh’.

Di sepanjang perjalanan seninya, Sheila Majid hanya menjadi Sheila Majid yang menghidupkan seni menerusi karisma dan aura tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak perlu lalu memakai konotasi hiburan sebagai lesen berbuat demikian.

Sheila Majid berseorangan di atas panggung, tampil tidak berlebihan tetapi sebagai pesohor seni berpengalaman layaknya seorang ‘ibu’ membuat peminat patuh dengan setiap pergerakan tanpa perlu dipaksa.

Sheila Majid 40 Years In Music juga menjadi begitu bermutu tinggi kerana dibarisi pemain-pemain handalan yang pakar dalam bidang masing-masing. Sheila seperti biasa ditemani tim yang lengkap, antaranya Mac Chew dan Jenny Chin serta Tohpati untuk ‘bertempur’ dengan seni mereka.

Kelancaran bunyi dan kualiti konsert dijaga antaranya oleh profesional seperti Jennifer Thompson diselaraskan dengan penataan pentas yang memfokus figura genit itu menyempurnakan Sheila Majid 40 Years In Music.

Untuk karya-karya yang dilantunkan di antaranya sudah melewati usia 35 tahun digubah dan dibawa cukup segar tanpa menghilangkan ciri khas lagu tersebut seperti Sinaran yang lahir pada tahun 1986, lalu membuat seluruh isi Axiata Arena gegak gempita menerusi lagu-lagu lain yang tidak kalah dek zaman ; Emosi, Aku Cinta Padamu, Pengemis Muda, Lagenda, Antara Anyer dan Jakarta, Moving On, Dia, Ku Mohon, Gerimis Semalam, Kerinduan, Tua Sebelum Waktunya dan Fikirkan Dulu dengan cukup menghiburkan, Sheila Majid 40 Years In Music adalah menifestasi karier seorang pesohor yang ‘tidak main-main’ dengan dunia hiburan.

Mahu dikatakan apa lagi. Segalanya tentang Sheila Majid 40 Years In Music mencapai piawaian kepuasan yang dicari peminat dalam sebuah penganjuran konsert. Sheila dan tim menjadikan perjalanan konsert itu sebagai sebuah momen yang manis untuk dikenang dan dibanggakan.

Sheila Majid 40 Years In Music juga bukan dilaksanakan hanya untuk wujud tetapi memperlihatkan bagaimana kecintaan dan pengalaman luas yang bergabung meletakkan seseorang pelaku seni pada puncak karier tersendiri.

Tahniah Datuk Sheila Majid. Sekali lagi selayaknya anda memegang predikat penghibur legenda. Anda menyatukan semua bangsa lewat bahasa seni.

Untuk yang terlepas Sheila Majid 40 Years In Music di Malaysia, ini pesan Sheila.

“Jumpa di Singapura pada 2026 nanti. Sheila Majid 40 Years In Music akan dibawa ke sana. Saya tidak akan beritahu apa yang bakal berlaku kerana anda perlu hadir menyaksikan sendiri konsert ini kelak,” katanya dengan mata berbinar ceria dan wajah berseri tanda puas dapat ‘berasmara’ bersama peminat lewat karya-karya yang diciptakan arkitek seni hebat buatnya.

Must-Watch Video

Advertisement