Ringkasan AI
- Shiha Zikir tekankan pentingnya beri persembahan terbaik terutama untuk acara korporat demi memuaskan hati klien.
- Dia aktif berinteraksi dengan penonton semasa persembahan, bukan sekadar menyanyi dan terus beredar.
- Shiha boleh menyanyi dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Tamil, Jepun, dan banyak lagi untuk memenuhi permintaan klien antarabangsa.
- Selain nyanyian, dia juga sibuk menguruskan perniagaan dan penganjuran acara di bawah syarikatnya, Shiha Zikir Empire.
- Shiha sedang siapkan single baru bergenre tradisional yang menggabungkan elemen silat dan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Penyanyi Shiha Zikir mengakui dia bukan jenis yang melepaskan batuk di tangga ketika membuat persembahan, tidak kira di kaca televisyen atau di acara korporat yang eksklusif.
Menurut Shiha, apabila dia menerima tawaran untuk menjayakan sebuah persembahan korporat, itu bermakna dia memegang tanggungjawab besar untuk memuaskan hati semua pihak terutama klien.
“Syukur Alhamdulillah, saya selalu memenuhi undangan persembahan korporat sejak dulu lagi. Bagi saya, persembahan sebegini merupakan sumber pendapatan penting untuk seseorang penyanyi.
“Apabila menerima tawaran persembahan, saya akan cuba memuaskan hati klien sebaik mungkin yakni menghiburkan mereka serta tetamu yang hadir. Menghibur itu pula bukan terikat pada menyanyi semata-mata, saya akan sentiasa berinteraksi dengan para hadirin seperti bermain game, borak-borak dan sebagainya. Bukanlah datang menyanyi kemudian ucap selamat tinggal begitu saja,” katanya.
Shiha juga mendedahkan selain biasa mempersembahkan lagu tradisional dan balada, dia sebenarnya boleh menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa yang sekali gus menambah nilai sebagai seorang penghibur berkualiti.
“Antara maklum balas yang selalu saya terima, ramai suka apabila saya boleh menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa. Dalam sesebuah syarikat, ramai bosses bukan berbangsa Melayu, malah ada dari Jepun, Thailand, Filipina dan pelbagai negara lain.
“Biasanya kalau diminta menyanyi lagu yang bukan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, saya akan terus cakap boleh. Saya pun sudah belajar lagu bahasa asing sejak mula datang Kuala Lumpur dulu. Jadi kalau klien buat permintaan, saya ons saja. Kalau lagu yang saya tak pernah nyanyi, saya akan belajar untuk kuasai sebutan dan nyanyian dengan baik.
“Antara lagu bahasa asing yang pernah saya nyanyikan termasuk Mandarin, Kantonis, Tamil, Bollywood, Thailand, Filipina, Jepun, Korea, Sepanyol, Arab dan banyak lagi,” jelasnya.
Shiha turut mengakui dia tidak pernah jemu belajar perkara baharu dan sentiasa ingin menjadi penyanyi versatil.
“Saya amat mengagumi mentor saya iaitu Allahyarham Sharifah Aini dan penghibur handalan Anita Sarawak. Kalau boleh, saya mahu jadi versatil seperti mereka. Sebab itu saya tidak pernah ambil mudah apabila melibatkan soal nyanyian atau persembahan pentas,” katanya yang baru-baru ini mempersembahkan lagu dalam Bahasa Filipina dan Thailand di empat acara sempena persidangan ASEAN.
Selain memenuhi undangan persembahan, Shiha kini semakin sibuk menguruskan perniagaan di bawah syarikat Shiha Zikir Empire dan Shiha Zikir Nasi Ayam.
“Mungkin ramai yang belum tahu, selain menyanyi saya juga menjalankan kerja selaku penganjur acara. Pendek kata memang dari A sampai Z kami urus, baik muzik, opening gambit, dekorasi dewan, kerja kreatif, semuanya boleh dibuat oleh SZE,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Shiha sedang menyiapkan single terbaharu dalam genre tradisional yang mengetengahkan elemen silat dan dijangka menemui peminat tidak lama lagi.