Sekilas
- Penyampai radio Ili Ruzanna mengumumkan pengunduran dirinya dari Hitz dan industri radio selepas lebih setahun bersama Hitz Morning Crew.
- Dalam ucapan terakhirnya, Ili mengucapkan terima kasih kepada pendengar atas sokongan dan kenangan manis sepanjang kerjayanya di Hitz.
- Ili berharap pendengar tidak bersedih dan terus menyokongnya dalam fasa baharu yang bakal dilalui.
Penyampai radio, Ili Ruzanna mengumumkan pengunduran dirinya sebagai penyampai radio Hitz.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi segmen terakhirnya bersama barisan Hitz Morning Crew, Anne dan Prem pada Isnin.
Ili berkata, perjalanan bersama Hitz khususnya menerusi gandingan Hitz Morning Crew sepanjang tempoh tersebut memberikan banyak kenangan manis buat dirinya.
“Saya akan meninggalkan Hitz dan industri radio sebenarnya. Ini adalah hari terakhir saya dan ia sememangnya satu perjalanan yang cukup bermakna.
“Saya rasa bersama Hitz Morning Crew, Ann, Ili dan Prem, kami sudah bersama selama kira-kira setahun setengah. Sejujurnya, ia merupakan satu tempoh yang sangat menyeronokkan,” katanya.
Dalam ucapan terakhirnya, Ili turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada semua pendengar yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya sepanjang berada di Hitz.
Menurut Ili, pendengar bukan sahaja menerima hiburan daripada mereka setiap pagi, malah kehadiran dan sokongan yang diberikan turut memberikan makna besar buat dirinya serta rakan-rakan penyampai.
“Bagi anda yang sedang mendengar sekarang, saya cuma mahu mengatakan bahawa anda sangat disayangi dan dihargai. Terima kasih banyak-banyak kerana sentiasa mendengar saya, Ann, Prem dan seluruh krew Hitz.
“Mungkin anda melihat kami sentiasa menceriakan hari anda setiap kali bertemu atau mendengar kami, tetapi sebenarnya anda juga menceriakan hari kami.
“Setiap kali anda menghubungi kami, bercakap dengan kami, menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan mengingati perkara-perkara kecil tentang kami, semua itu sangat bermakna,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ili meminta pendengar agar tidak bersedih dengan keputusannya untuk meninggalkan Hitz dan industri radio.
Sebaliknya, dia berharap semua pendengar dapat berbahagia dan memberikan sokongan terhadap fasa baharu yang bakal dilaluinya.
Sumber: Instagram