Sekilas
- Amira Othman dan suaminya, Fattah Amin, menegaskan mereka tidak pernah menarik balik laporan terhadap akaun media sosial ‘Musang Berjanggut’ yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai kehidupan peribadi mereka.
- Mereka telah membuat beberapa laporan kepada MCMC dan PDRM serta berjumpa dengan Datuk Fahmi Fadzil untuk menangani isu buli siber ini.
- Amira menegaskan pentingnya tindakan tegas terhadap akaun palsu dan berharap dengan kuasa netizen, identiti individu di sebalik akaun tersebut dapat dikenal pasti.
Penyanyi Amira Othman menegaskan dia dan suaminya, pelakon Fattah Amin tidak pernah menarik balik laporan terhadap akaun media sosial ‘Musang Berjanggut’ yang didakwa menyebarkan pelbagai fitnah mengenai kehidupan peribadi mereka.
Menerusi perkongsian di Threads, Amira berkata dia menerima banyak mesej daripada orang ramai yang memintanya supaya tidak menarik semula laporan berhubung isu tersebut.
“Salam. Penuh DM saya orang mesej dan tag saya dan suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa Musang Berjanggut yang telah pun memfitnah kami macam-macam.
“Dia bercakap perkara-perkara yang tidak elok. Saya baca pun seram. Tak takut ke pada Allah,” katanya.
Jelas Amira, mereka bukan sahaja tidak pernah menarik laporan, malah sudah beberapa kali membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Untuk pengetahuan peminat, kami tidak pernah menarik laporan. Kami turun naik buat laporan di MCMC dan PDRM, malah berjumpa dengan Datuk Fahmi Fadzil untuk menangani isu ini.
“Bukankah isu buli siber ini harus dibanteras?” ujarnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Hati-Hati itu mempersoalkan mekanisme sedia ada dalam menangani isu akaun palsu yang disifatkan semakin berani kerana merasakan mereka tidak akan dikenakan tindakan.
“Selagi tidak ada mekanisme yang diwujudkan untuk menyelesaikan semua ini, selagi itulah ia akan terus berleluasa sebab akaun palsu ini tak takut kerana Malaysia tidak ada tindakan tegas.
“Jadi saya tertanya-tanya apa fungsi MCMC? Hujung-hujung mereka cakap ‘jangan baca saja’.
“Kalau kami tak baca dan tak respons pun, rasanya ia semakin melampau. Takut ia memudaratkan mental dan emosi sesiapa sahaja yang menjadi mangsa,” katanya.


Amira turut menegaskan dia dan suami tidak akan menarik balik laporan kerana mahu mengetahui identiti individu di sebalik akaun tersebut.
“Kami tidak akan menarik laporan sebab kami pun nak tahu siapa Musang yang nampak sangat berani berselindung di sebalik akaun palsu.
“Jadi mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa tular, isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, Fattah meluahkan rasa terkilan apabila terdapat akaun palsu menggunakan nama ‘Musang Berjanggut’ yang didakwa menyebarkan pelbagai fitnah serta naratif tidak berasas berkaitan kehidupan peribadinya.
Sumber: Threads