Sekilas
- Zarif Ghazzi merasa terhormat dapat berkongsi pentas dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara, khususnya dalam segmen lagu Kurik Kundi.
- Pelakon itu menghargai makna mendalam lagu tersebut yang menonjolkan keindahan bahasa Melayu dan budaya tempatan.
- Siti Nurhaliza turut memuji komitmen Zarif walaupun hanya menjalani satu sesi latihan sebelum persembahan di Stadium TM Nasional Bukit Jalil.
Pelakon, Zarif Ghazzi menyifatkan peluang berkongsi segmen bersama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna buat dirinya.
Bintang KUDRAT 1968 itu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada persembahan istimewa berkenaan.
"Satu penghormatan dapat berkongsi pentas dengan Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, di Konsert Gema Bumantara, termasuk satu segmen khas bersama Biduanita Negara sendiri.
“Kurik Kundi adalah antara lagu yang mempunyai makna paling mendalam. Bukan sekadar melodi, tetapi sarat dengan makna tentang bahasa Melayu, budaya dan ketinggian budi kita.
“Sebuah karya yang mengingatkan kita untuk menghargai bahasa sendiri kerana bahasa mencerminkan siapa kita dan dari mana kita berasal,” tulisnya.
Pada masa sama, Zarif juga mengakui momen tersebut sangat bermakna untuknya dan bakal diceritakan kepada anak-anaknya suatu hari nanti.
“Tidak lama lagi, saya boleh beritahu anak-anak bahawa ayah mereka pernah berkongsi pentas dengan salah seorang permata terhebat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya.
Zarif turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan dan peluang kepadanya untuk terlibat dalam persembahan berkenaan.
Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut membalas hantaran tersebut dengan ucapan terima kasih selain memuji komitmen pelakon itu sepanjang menjayakan persembahan berkenaan.
“Terima kasih banyak-banyak ye Zarif sudi mengayuh beca bawa Kak Ct. Maaf tak sempat nak borak. You did a great job, walaupun rehearsal satu kali je,” balas Siti.
Terdahulu, Zarif Ghazzi meluahkan rasa terharu selepas diberi peluang untuk terlibat untuk bersama-sama dalam menjayakan persembahan lagu Kurik Kundi nyanyian Bidunita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Konsert Gema Bumantara.
Menerusi segmen tersebut, Zarif dilihat mengendalikan beca yang membawa Siti Nurhaliza pusing di dalam Stadium TM Nasional Bukit Jalil.