Pempengaruh dan usahawan, Faiz Aizif meluahkan rasa terkilan selepas kehadirannya ke sebuah sekolah untuk merasmikan sebuah majlis anugerah akademik menjadi isu besar di sosial media.
Menurut Faiz atau lebih dikenali sebagai Faiz Soul, isu tersebut seolah-olah diperbesarkan tanpa sebab yang jelas, sedangkan dirinya hadir atas jemputan dan niat baik untuk menyokong program pendidikan.
“Satu Malaysia Viral Isu Saya Rasmi Sekolah. Masuk buletin TV3, TV9, Astro Gempak, Kosmo, Utusan, Sinar, Berita Harian, Majoriti, Lobak Merah & Banyak Lagi.
“Apa Salah Saya? Saya Hadir Sebagai usahawan. Saya bukan penjenayah, saya bukan banduan yang hadir rasmi sekolah Saya seketul faiz, hadir & siap hulur sumbangan. Silap apa sampai perlu disiasat Pihak sekolah?” tulisnya. 
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah sekolah di negeri itu yang menjemput seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik.
JPN berkata pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya didapati pentadbir sekolah melanggar peraturan yang ditetapkan.
Sebelum ini, Faiz hadir ke sebuah sekolah di Kedah untuk merasmikan majlis akademik. Bagaimanapun, kehadirannya mendapat pelbagai respon dan tercetus perdebatan warganet dalam media sosial.