Skip to main content

Hiburan

“Saya Cium Baju, Cakap Sorang-Sorang...” – Tiga Bulan Pemergian Anak, Amyza Aznan Tak Pernah Gagal Ziarah ‘Pusara’ Setiap Hari

Astro Gempak 518

Sekilas

  • Amyza Aznan masih merindui anak sulungnya, Andre Mikhail, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Februari lalu dan sering mengenang arwah dengan menziarahi pusaranya setiap hari.
  • Anak kedua Amyza, Adrian Adam Khairil Idzhar, berkongsi detik terakhir bersama Andre sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital.
  • Keluarga Amyza menghadapi ujian berat apabila suaminya menjalani dialisis dan anak keduanya disahkan menghidap kanser tulang tahap 2B, namun Amyza tetap tabah menerima takdir Allah.
Advertisement

Pelakon Amyza Aznan mengakui dirinya masih belum mampu menahan kerinduan terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga Februari lalu.

Menerusi satu temu bual di GMW Specials yang dihoskan oleh Keanu Azman, Amyza dilihat sebak ketika berkongsi mengenai rutin hariannya yang sering mengenang arwah anak tercinta.

Menurut Amyza, dia juga akan duduk di sofa tempat Andre sering tidur selain tidak pernah gagal menziarahi pusara anaknya itu setiap hari.

“Saya memang selalu menangis bila teringatkan Andre.

“Saya selalu tengok balik video-video dia. Saya akan pegang baju dia, cium bau dia, cakap sorang-sorang. Saya akan duduk dekat sofa tempat dia selalu tidur.

“Saya panggil pusara dia ‘Istana Andre’. Setiap hari saya akan ke sana, tak pernah tinggal,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Di Bawah Payung itu, walaupun sedar Andre sudah tiada, dia masih terbiasa bercakap dan memanggil nama arwah seperti sebelum ini.

“Kita tahu dia dah tak ada. Tapi saya tetap panggil nama dia.

“Masa memandu pun saya akan sebut, ‘Andre, ni Mami nak pergi kerja ni, Andre okey tak?’ Itu perkataan yang saya selalu cakap masa dia dekat hospital dulu,” katanya lagi.

Sementara itu, anak keduanya Adrian Adam Khairil Idzhar turut berkongsi detik terakhir bersama Andre sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital.

“Ya, saya ada di sebelah dia sampai dia hembuskan nafas terakhir.

“Saya yang tengok tahap oksigen dia turun perlahan-lahan dari 90 ke 80, 70 sampai 60,” katanya.

Menurut Adrian atau mesra dipanggil Ian, pada awalnya dia meminta Andre untuk terus melawan penyakit tersebut sebelum akhirnya membisikkan syahadah di telinga arwah.

“Masa mula-mula itu saya minta dia lawan, tapi akhirnya saya bisikkan syahadah pada telinga dia,” ujarnya.

Amyza pula berkata, dia sempat pulang ke rumah seketika sebelum menerima panggilan telefon daripada suaminya yang membuatkan dia sudah dapat menjangka keadaan sebenar.

Menurut Amyza, dia terus bergegas ke hospital sebelum melihat wajah Andre sudah ditutup.

“Masa itu oksigen dia nampak stabil, jadi saya balik rumah sekejap nak bersihkan diri.

“Baru 20 minit sampai rumah, suami telefon tanya saya dekat mana. Saya dah tahu dah,” katanya.

“Bila sampai hospital, saya tengok mereka dah tutup muka dia.

“Saya cakap, ‘Maafkan Mami Andre, Mami tak dapat selamatkan Andre’,” luahnya.

Dalam masa sama, Amyza mengakui keluarganya berdepan ujian berat apabila suaminya perlu menjalani dialisis selain Ian turut disahkan menghidap kanser tulang tahap 2B.

Bagaimanapun, pelakon drama Di Bawah Payung Awan itu berkata dia tidak pernah mempersoalkan takdir Allah SWT.

“Tak pernah. Alhamdulillah benda itu tak pernah terlintas dalam fikiran saya.

“Apa yang jadi, saya hadapi saja. Saya tahu Allah takkan uji kalau saya tak mampu,” katanya.

Menurut Amyza lagi, segala dugaan tersebut berlaku sekitar bulan Februari yang juga bulan kelahiran anak-anaknya.

“Ian diagnosis pada bulan lahir dia. Andre pula meninggal pun pada bulan lahir dia. Semuanya berlaku dalam bulan Februari. Sangat berat untuk kami,” ujarnya.

Sebelum ini, anak sulung Amyza meninggal dunia pada 23 Februari akibat kanser paru-paru.

Anda mungkin berminat dengan

Maybelline Super Stay Vinyl Ink Transfer Proof Shine Longwear Lipstick - 16H Longwear Longlasting, Glossy, Instant Shine

Maybelline Super Stay Vinyl Ink Transfer Proof Shine Longwear Lipstick - 16H Longwear Longlasting, Glossy, Instant Shine

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

B.S.B 1Kg/1000g Sleeping hilton Pillow Viral Bantal Tidur Bantal Hotel

B.S.B 1Kg/1000g Sleeping hilton Pillow Viral Bantal Tidur Bantal Hotel

Baju Pagoda Eagle King T-Shirt Inner Cotton/ Berpoket Berzip/ Singlet Round Neck Plain

Baju Pagoda Eagle King T-Shirt Inner Cotton/ Berpoket Berzip/ Singlet Round Neck Plain

Maybelline Fit Me Compact Powder – SPF32, 16H Oil Control Face Powder with Matte Finish, Controls Shine Resists Humidity

Maybelline Fit Me Compact Powder – SPF32, 16H Oil Control Face Powder with Matte Finish, Controls Shine Resists Humidity

7pcs High Waist Slimming Panties - Seamless Plus Size Underwear, Seluar Dalam Wanita

7pcs High Waist Slimming Panties - Seamless Plus Size Underwear, Seluar Dalam Wanita

Must Watch Video

Advertisement