Sekilas
- Toh Puan Syamim Freida menjelaskan dia sudah lama berkawan dengan Bella Astillah sejak sebelum perkahwinan penyanyi itu dengan Syed Saddiq.
- Syamim menegaskan hubungan mereka rapat walaupun jarang dilihat bersama secara terbuka dan sentiasa sedia membantu Bella bila diperlukan.
- Dia turut memuji kekuatan Bella dan menitipkan pesanan agar pasangan pengantin baru mengutamakan kesabaran dan persefahaman dalam rumah tangga.
Pelakon Toh Puan Syamim Freida tampil menjelaskan hubungan persahabatannya dengan Bella Astillah selepas segelintir netizen mempersoalkan kehadirannya sebagai pengapit pada majlis pernikahan penyanyi itu bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini.
Syamim atau nama penuhnya Syamim Mohd. Farid, 35, berkata, dia sebenarnya sudah lama mengenali Bella sejak sebelum penyanyi itu mendirikan rumah tangga dan hubungan mereka kekal akrab sehingga kini.
“Saya dengan Bella sebenarnya sudah lama kenal, sejak sebelum dia berkahwin lagi. Boleh dikatakan kami berkawan sejak zaman hingusan.
“Mungkin orang pelik apabila saya ada dalam senarai pengapit sebab kami jarang nampak bersama, tetapi sebenarnya saya selalu ada untuk dia kalau apa-apa berlaku.
“Jika ada berita mengenai dirinya, saya akan hubunginya terus, malah bersedia pada bila-bila masa kalau diperlukan,” katanya.
Syamim berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pembukaan kedai fizikal pertama jenama pakaian sukan NADA di KL East Mall, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Syamim turut menyifatkan Bella sebagai seorang wanita yang memiliki kekuatan luar biasa meskipun penampilannya kelihatan lemah lembut.
“Dia sangat menakjubkan dan seorang individu yang sangat berdedikasi. Kalau tengok dari luaran, dia nampak lembut dan kecil molek, tetapi sebenarnya dia sangat kuat.
“Saya boleh katakan Bella seorang individu yang ampuh luar dan dalam. Dia wanita besi,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkahwinan Bella dan Syed Saddiq, Syamim meluahkan rasa gembira melihat sahabatnya itu akhirnya bertemu pasangan yang mampu menghargai dirinya.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan Bella. Saya pasti YB (Syed Saddiq) akan menjaganya dengan baik.
“Saya juga terharu kerana akhirnya Bella sudah menemui insan yang menghargai dirinya,” katanya.
Pada masa sama, Syamim turut menitipkan pesanan buat pasangan pengantin baharu itu agar sentiasa mengutamakan kesabaran dan persefahaman dalam melayari kehidupan berumah tangga.
“Dalam perkahwinan, kita perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.
“Walau apa pun yang berlaku, kita perlu sentiasa memilih satu sama lain setiap hari, selain banyak bersabar dan berkongsi,” katanya.
Terdahulu, Syamim berkongsi beberapa keping foto termasuk ketika membawa dulang hantaran pada majlis pernikahan Bella dan Syed Saddiq yang berlangsung di Menara Merdeka 118 pada 10 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kehadirannya sebagai salah seorang pengapit pengantin menimbulkan tanda tanya dalam kalangan segelintir netizen memandangkan mereka jarang dilihat bersama secara terbuka.