Pelakon, Siti Khadijah Halim mengakui tidak menolak sepenuhnya pantang larang tradisional, namun hanya memilih untuk mempercayai yang berasaskan logik dan memberi manfaat kepada kesihatan.
Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Khadijah Abdul Halim, 27, ada pantang larang yang dirasakan tidak masuk akal dan tidak memberi kesan kepada kehidupan, maka dia memilih untuk tidak mengamalkannya.
Advertisement
“Ada yang saya percaya, ada juga yang saya tak percaya. Kalau benda-benda yang sedikit mengarut tu, saya rasa tak patut, saya indahkan saja,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, kata pelakon Di Sebalik Reda itu, dia tetap mengamalkan beberapa pantang larang yang lebih menjurus kepada penjagaan kesihatan dan kecantikan.
“Pantang larang saya lebih kepada kesihatan. Saya dah tak minum air sejuk, lebih suka air suam atau teh. Air suam ni sangat bagus untuk kulit, otot dan sistem penghadaman kita,” jelasnya.
Tambahnya lagi, tabiat minum air suam juga diamalkan secara konsisten setiap hari kerana dia percaya ia membantu proses dalaman tubuh untuk kekal bertenaga.
“Saya memang selalu pesan pada orang, minum air suam sebab badan kita perlukan tu untuk sistem penghadaman. Benda-benda kesihatan macam tu saya percaya,” katanya.
Dalam masa sama, Siti berkata, dia tidak terlalu terikat dengan kepercayaan lama seperti pantang makan sate atau larangan membawa bawang yang sering dikaitkan dengan pantang orang lama.
“Kalau yang tak masuk akal tu saya tak ikut. Tapi kalau berkait dengan kesihatan, itu saya amalkan,” ujarnya.