Sekilas
- Amir Ahnaf menganggap filem Baga: Esok Untuk Siapa sebagai karya istimewa yang membantu dia menemui kembali identiti asalnya sebagai anak Terengganu.
- Filem ini mengisahkan dua jiwa muda yang berdepan dengan cinta, impian, dan realiti kehidupan dalam suasana kampung konservatif yang penuh cabaran.
- Baga: Esok Untuk Siapa sudah ditayangkan di pawagam sejak 5 November dan menampilkan barisan pelakon seperti Amirah Razak dan Wan Hanafi Su.
Pelakon, Amir Ahnaf menyifatkan filem Baga: Esok Untuk Siapa sebagai sebuah naskhah yang cukup istimewa dalam perjalanan seninya kerana berjaya mengembalikan dirinya kepada identiti asal yang hampir dilupakan.
Menurut Amir, pengalaman menjayakan filem tersebut sekitar dua tahun lalu hadir ketika dia hilang arah dan sedang mencari kembali identiti dirinya.
“Saya tersentuh kerana melalui filem Baga, saya seolah-olah menjumpai semula diri saya yang hilang. Kami menjalani penggambaran ini dua tahun lalu dan ketika itu, sejujurnya saya sangat ‘lost’.
“Saya menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana ingin mencari jiwa dan mengenali siapa sebenarnya Amir Ahnaf.
“Apabila saya melihat semula lakonan saya dalam naskhah ini, perasaan rindu terhadap diri saya yang dulu tiba-tiba datang,” katanya kepada Gempak.
Malah, Amir menyifatkan Baga sebagai sebuah karya yang cukup dekat dengan dirinya kerana mengingatkan dia tentang identiti sebagai anak Terengganu yang sentiasa perlu berpijak di bumi nyata.
“Saya ini hanya budak kampung. Apabila kita sudah terbiasa dengan kehidupan kota, ada masanya kita hilang pegangan terhadap akar umbi sendiri.
“Naskhah Baga ini bukan sekadar sebuah filem bagi saya, ia adalah personal favorite kerana ia mengembalikan identiti saya sebagai anak Terengganu yang sentiasa berpijak di bumi nyata,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Amir turut meluahkan rasa syukur apabila perjalanan seninya terus mendapat perhatian dan penghargaan daripada peminat serta penggiat industri.
Bagaimanapun, dia tidak pernah menganggap segala pencapaian yang dikecapi sebagai hasil usaha dirinya semata-mata, sebaliknya percaya setiap peluang yang diterima hadir dengan izin dan kasih sayang Tuhan.
“Peluang untuk bernafas dan bekerja sehingga ke tahap ini semuanya dengan izin-Nya. Saya percaya ini bukan sebab kehebatan saya, tetapi kerana kasih sayang Tuhan.
“Saya cuma seorang pendosa, sama seperti manusia lain. Jadi, apabila orang menghargai bakat saya, saya berasa sangat kerdil dan bersyukur.
“Terima kasih kerana masih memberi ruang untuk saya terus berkarya,” katanya.
Untuk rekod, Amir merupakan antara pelakon yang membintangi filem BAGA: Esok Untuk Siapa, terbitan Indigo Films dan Skop Productions yang turut menampilkan Amirah Razak, Wan Hanafi Su serta beberapa pelakon lain.
Filem tersebut mengisahkan dua jiwa muda yang tersepit antara cinta, impian dan realiti kehidupan yang semakin menghimpit.
Berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat kampung yang konservatif, naskhah berkenaan turut mengangkat isu kemiskinan, tradisi serta pilihan hidup yang mampu meninggalkan kesan besar terhadap masa depan seseorang.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan BAGA: Esok Untuk Siapa yang sudah menemui penonton di pawagam sejak 5 November lalu.