Sekilas
- Aina Abdul bersyukur karya seninya mendapat perhatian netizen walaupun ada kecaman mengenai penggunaan perkataan 'takda' dalam lagu.
- Dia melihat reaksi itu sebagai tanda pendengar semakin peka dan teliti terhadap karya muzik yang dihasilkan.
- Aina baru sahaja melancarkan lagu terbaharu berjudul Sadis, yang merupakan sambungan cerita daripada lagu Berjauh-an dengan tema kehilangan dan penyesalan.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul meluahkan rasa syukur apabila hasil seninya menjadi perhatian dan perbahasan oleh netizen.
Ujar Aina, dia tidak menjangkakan penggunaan perkataan 'takda' akan menjadi isu kerana menganggap itu satu bentuk pembaharuan dalam gaya penulisannya.
“Alhamdulillah orang masih tunjuk minat dalam apa saya buat walaupun berbentuk kecaman. Saya tak jangka ia akan menjadi kecaman pun, saya ingat benda itu orang akan rasa pembaharuan daripada saya sahaja.
"Saya hanya petik apa yang kita selalu guna dalam kehidupan harian,”katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, pelantun lagu Berjauh-an itu melihat situasi tersebut dari sudut positif dan menganggap ia sebagai tanda bahawa pendengar kini semakin peka serta lebih teliti terhadap karya muzik yang dihasilkan.
"Saya tak rasa pun benda itu akan jadi negatif. Tapi sekarang benda itu teruk juga, tapi saya gembira sebab ramai yang pertahankan saya sebab mereka tahu apa situasi saya menulis lagu itu. Saya hanya petik apa yang kita selalu guna dalam kehidupan harian.
"Saya sentiasa akan lihat daripada sudut positif. Bagi saya pendengar saya makin teliti dan ambil tahu dengan lagu-lagu yang dikeluarkan. Saya rasa Allah hadirkan sesuatu itu sentiasa ada hikmahnya.
"Benda itu memang akan berlaku. Ia bagus sebab netizen makin peka tapi kita kena kawal dengan kepekaan itu dan lebih terbuka. Kita kena terima yang bahasa ini indah. Bahasa ini bukan hanya ikut kamus sahaja," tambahnya.
Sekadar info, Aina Abdul juga baharu sahaja melancarkan lagu terbaharunya berjudul Sadis.
Sadis merupakan sebuah sambungan cerita daripada Berjauh-an.
Jika Berjauh-an menggambarkan jarak dan keretakan dalam hubungan, Sadis pula hadir sebagai refleksi terhadap kehilangan yang mula dirasai apabila seseorang itu sudah tiada di sisi.
Kedua-dua karya ini mempunyai keserasian yang kuat dan saling melengkapi dari sudut emosi, penceritaan, dan perjalanan karakter dalam lagu.
Ditulis dan digubah sendiri oleh Aina Abdul, lagu ini menampilkan sisi penulisan yang lebih mendalam dan jujur, dengan lirik yang menyentuh tentang rindu, ego, penyesalan, dan penghargaan terhadap seseorang yang sering dipandang biasa ketika masih ada.