Sekilas
- Datuk Eman Manan mengesahkan wataknya dalam Takluk 2: Op Daulat akan dikembangkan melalui babak imbas kembali yang mendedahkan identiti sebenar karakter tersebut.
- Filem ini merupakan kesinambungan daripada Takluk: Lahad Datu dan menambah konflik serta mendalami watak yang dibawa oleh Eman.
- Takluk 2: Op Daulat diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan menampilkan barisan pelakon popular seperti Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, dan Kamal Adli.
Pelakon senior, Datuk Eman Manan mendedahkan wataknya dalam filem Takluk 2: Op Daulat akan dikembangkan menerusi beberapa babak imbas kembali yang membongkar identiti sebenar karakter tersebut.
Menurut Eman, kesinambungan daripada filem pertama itu memberi ruang kepada penonton mengenali lebih mendalam watak bawaannya, selain menambahkan konflik dalam penceritaan.
“Apabila pergi kepada bahagian kedua, ada berlaku babak imbas kembali yang membongkar rahsia siapa sebenarnya watak yang ditampilkan dalam bahagian pertama.
“Perwatakan itu ada perkembangan di situ. Ia lanjutan daripada episod pertama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lembut filem berkenaan di Kementerian Pertahanan (MINDEF), baru-baru ini.
Ditanya mengenai cabaran menjayakan sekuel tersebut, Eman mempunyai pendekatan tersendiri apabila menegaskan dirinya lebih gemar mencabar watak berbanding membiarkan karakter itu mencabar kebolehannya.
“Saya jarang sekali membenarkan watak itu mencabar saya. Saya sentiasa mencabar watak.
“Saya tak tahu watak yang macam mana mencabar sepanjang saya berlakon. Saya tak faham istilah orang kata cari watak mencabar.
“Yang saya faham bagaimana harus saya mencabar watak,” jelasnya.
Untuk rekod, Takluk 2: Op Daulat merupakan kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu menampilkan barisan pelakon antaranya Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Datuk Eman Manan, Fadlan Hazim, Josiah Hogan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi dan Sara Ali.