Sekilas
- Pelakon Zizan Razak berkongsi pengalaman membintangi filem TERBANG sebagai foreman dan mekanik, walaupun tidak berpeluang memandu kereta rali dalam filem tersebut.
- Zizan yang juga pelumba sebenar berkata dia terpaksa menahan sabar kerana wataknya lebih banyak mengendalikan enjin dan memberi nasihat kepada pelumba.
- Filem TERBANG diinspirasikan daripada legenda rali negara, Karamjit Singh, dan akan ditayangkan di pawagam mulai 17 September.
Pelakon Zizan Razak mengakui terpaksa menahan ‘geram’ ketika membintangi filem TERBANG apabila tidak berpeluang memandu kereta rali meskipun dunia permotoran cukup dekat dengan dirinya.
Menurut Zizan, wataknya sebagai seorang foreman dan mekanik membuatkan dia lebih banyak mengendalikan enjin serta memberi nasihat kepada pelumba berbanding berada di belakang stereng.
“Cabaran dia ialah saya kena menahan sabar. Filem lumba kereta tetapi saya tidak dibenarkan bawa kereta sebab watak saya foreman.
“Sedangkan dalam realiti, saya memang pelumba dan kaki kereta. Tak boleh dengar bunyi enjin, memang saya suka,” katanya berseloroh.
Zizan berkata, sekiranya diberi peluang memandu kereta rali yang digunakan dalam filem tersebut, dia pasti tidak akan melepaskan peluang berkenaan.
“Saya memang sangat teruja dengan filem macam ini sebab sudah banyak tahun terlibat dalam dunia perlumbaan.
“Saya boleh bercakap dalam bahasa rali, tentang perkara teknikal, adrenalin, momentum dan ‘gravity center’ sebab saya datang daripada dunia itu,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman dalam sukan permotoran turut membantu dirinya memahami suasana serta emosi sebenar seorang pelumba ketika menjayakan watak tersebut.
TERBANG arahan Chiu Keng Guan diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh dan bakal menemui penonton di pawagam pada 17 September depan.