Sekilas
- Imranul Effendy memilih untuk tidak mengulas imej terkini Noreen Iman dan hanya mendoakan yang terbaik buatnya serta keluarganya.
- Imranul menganggap Noreen sebagai kakak yang banyak membantu dalam perjalanan kariernya dan hubungan mereka masih baik walaupun tidak berkongsi lanjut.
- Noreen menjadi perhatian selepas tampil tanpa hijab di media sosial, manakala Imranul kini terlibat dalam siri Tonton Original, BRU: Masin & Manis.
Pelakon meningkat naik, Imranul Effendy memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai imej terkini pelakon Noreen Iman, sebaliknya hanya mendoakan yang terbaik buat wanita yang disifatkannya sebagai individu banyak berjasa dalam perjalanan karier seninya.
Menurut Imranul, Noreen yang sudah dianggap seperti kakak, merupakan seorang yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan kepadanya sepanjang mereka mengenali antara satu sama lain.
“Saya cuma nak cakap kakak saya, Noreen Iman, adalah seorang individu yang sangat baik.
“Dia adalah individu yang membantu saya dalam perjalanan saya masuk industri ini daripada saya kosong sehingga jadi seseorang.
“Untuk saya nak ulas isu dia, saya rasa saya tak berhak sebab itu adalah soal peribadi dia. Saya hormati apa sahaja keputusan dia dan saya rasa apa yang dia buat adalah yang terbaik untuk dirinya.
“Saya cuma nak doakan yang terbaik sahaja untuk dia dan keluarga,” katanya.
Imranul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran drama vertikal BRU: Masin & Manis baru-baru ini.
Ditanya sama ada mereka masih berhubung, Imranul mengakui hubungan mereka masih baik, namun enggan berkongsi lebih lanjut.
“Berhubung itu biarlah saya dan dia sahaja yang tahu.
“Masih (berhubung),” ujarnya ringkas.
Mengulas reaksi netizen yang terus memperkatakan imej baharu Noreen, Imranul mengakui dia tidak terkesan dengan segala kecaman memandangkan dia mengenali keperibadian sebenar aktres berkenaan.
“Saya tak nak sentuh isu sensitif ini sebab saya pun bukan sesiapa untuk bagi komen.
“Kita doakan yang terbaik, itu yang kita perlu buat.
“Saya kenal kakak saya sendiri, jadi saya tak terkesan pun dengan apa yang orang cakap. Saya tahu kakak saya macam mana.
“Biarlah mereka nak cakap apa pun. Bukan mereka kenal kakak saya pun.
“Mulut orang kita tak boleh tutup,” katanya.
Sebelum ini, Noreen menjadi perhatian ramai apabila beberapa perkongsian terbaharunya di media sosial memperlihatkan dia tampil tanpa hijab selepas sebelum ini berhijrah dengan mengenakan tudung sepenuhnya.
Dalam perkembangan lain, Imranul kini terlibat dalam siri terbaharu Tonton Original, BRU: Masin & Manis, yang merupakan kesinambungan kepada kejayaan siri BRU sebelum ini.
Siri tersebut mengisahkan perjalanan seorang barista berbakat yang berdepan cabaran hidup dan mencari semula keyakinan diri.