Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, berkongsi cara uniknya mengenang pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dengan meraikan kehidupan dan jasa Allahyarhamah.
- Syed Saddiq menekankan bahawa setiap orang berduka dengan cara tersendiri dan penting untuk menghargai kisah cinta dan kebersamaan Tun Hasmah sepanjang hayatnya.
- Tun Dr Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan disemadikan di Pusara Negarawan, Putrajaya pada hari yang sama.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih untuk mengenang pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dengan cara yang berbeza.
Menerusi perkongsian di Instagram, Syed Saddiq berpendapag bahawa setiap individu mempunyai cara berbeza dalam berdepan situasi kehilangan insan tersayang.
“Kita semua berduka dengan cara yang berbeza. Kita semua melalui kesedihan dengan cara kita yang tersendiri. Yang paling penting adalah niat.
“Kerana akhirnya, ini bukan tentang kita. Ini tentang kisah cinta luar biasa dua jiwa yang tidak dapat dipisahkan….dua insan yang saling melengkapi sepanjang perjalanan hidup.
“Dan mungkin, apabila cinta sahaja tidak lagi cukup untuk menggambarkannya, ia menjadi sesuatu yang lebih mendalam….kebersamaan. Teman hidup. Teman seperjuangan. Teman sampai ke penghujung usia, ” tulisnya.
Menerusi hantaran yang sama, Syed Saddiq turut mengimbas jasa Allahyarhamah yang disifatkannya sebagai seorang wanita yang sentiasa membuatkan orang di sekeliling berasa dihargai dan disayangi.
Malah, Syed Saddiq turur mengimbau kembali momen Tun Hasmah dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Ini juga kisah seorang wanita yang menghabiskan hidupnya membuatkan orang di sekelilingnya berasa dihargai, disayangi dan istimewa sambil terus berkhidmat kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira siapa mereka.
“Jadi, saya memilih untuk berduka dengan cara yang berbeza.
“Saya memilih untuk mengenang Tun bukan hanya dengan air mata, tetapi dengan meraikan kehidupan yang beliau jalani, kasih yang beliau berikan, dan dakwat kekal yang beliau tinggalkan dalam lembaran sejarah Malaysia dan dalam hati kita semua.
“Bersemadilah dengan tenang, Tun. Kisahmu akan terus hidup,” ujarnya lagi.
Pada Isnin, Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 9.20 pagi.
Jenazah Allahyarhamah kemudiannya selamat disemadikan di Pusara Negarawan, Presint 20, Putrajaya kira-kira jam 6 petang hari yang sama.
Sumber: Instagram