Sekilas
- Zizan Razak terharu menerima pujian daripada pengarah Chiu Keng Guan atas lakonannya sebagai Imran dalam filem Terbang.
- Dia mengawal gaya lakonan supaya sesuai dengan konsep filem yang lebih menekankan nilai seni berbanding komersial.
- Zizan mengakui pernah terlebih berlakon sebelum ini dan berterima kasih kepada semua yang menghargai usaha lakonannya dalam filem tersebut.
Pelakon, Zizan Razak mengakui terharu apabila pengarah, Chiu Keng Guan memuji lakonannya sebagai Imran dalam filem Terbang.
Menurut Zizan, pujian tersebut cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi dia mengakui berusaha mengawal gaya lakonan agar bersesuaian dengan konsep dan kehendak filem itu.
"Saya menangis bila pengarah menghantar mesej dan memuji saya. Dia kata reaksi saya sangat, sangat, sangat berkesan.
“Saya baca mesej itu sampai menangis. Apabila kita faham tugasan dan konsep sesebuah cerita, kita perlu belajar daripada filem-filem sebelum ini,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, Zizan tidak menafikan mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam persembahan lakonannya sebelum ini, termasuk ada kalanya dia terlalu berlebihan ketika membawakan sesuatu watak.
Justeru, dia mengambil pendekatan untuk lebih mengawal diri dalam Terbang kerana memahami naskhah berkenaan lebih menekankan nilai seni berbanding pendekatan komersial semata-mata.
“Mungkin sebelum ini ada juga saya terlebih atau terkurang dalam lakonan. Mungkin dahulu saya terlalu teruja dan tidak cukup membuat kajian.
“Untuk kali ini, saya rasa perlu hadkan perkara itu supaya bersesuaian dengan cerita kerana saya tahu filem ini lebih kepada seni dan bukan terlalu komersial.
“Jadi, saya kawal lakonan saya. Alhamdulillah, apabila melihat pujian yang diberikan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menghargai lakonan saya,” ujarnya.