Sekilas
- Pelakon Uqasha Senrose telah memberi peluang selama empat tahun kepada suaminya, Kamal Adli, untuk memperbaiki rumah tangga mereka namun tiada perubahan berlaku.
- Uqasha sudah berbincang dengan keluarga mentua sebelum membuat keputusan untuk memfailkan perceraian demi keselamatan mental dan fizikal dirinya serta anak mereka.
- Prosiding ketiga kes perceraian berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dan kedua-dua pihak akan menghadiri perbincangan di JAWI sebelum prosiding seterusnya pada 18 Disember.
Pelakon Uqasha Senrose memberitahu dia sudah memberi peluang selama empat tahun untuk suaminya, iaitu aktor Kamal Adli memperbaiki rumah tangga mereka namun ia telah dipersiakan.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, berkata, dia juga sudah berjumpa dengan keluarga mentua untuk berbincang sebelum mengambil keputusan memfailkan perceraian.
“Saya sudah berusaha untuk perbaiki rumah tangga ini, saya cuba sedaya upaya saya. Malah saya sudah berjumpa keluarga Kamal telebih dahulu untuk bantu saya perbaiki dan pertahankan perkahwinan kami.
“Tetapi, tiada perubahan langsung oleh Kamal. Saya masih ada ibu bapa, adik beradik, saya perlu beritahu keluarga apa yang terjadi dalam rumah tangga saya.
“Saya berbincang dan kedua-dua juga sudah berbincang untuk beri peluang lagi kepada Kamal. Namun peluang itu dipersia-siakan. Jadi saya nekad untuk berpisah.
“Cukup la saya nak kata, saya nak selamatkan diri dari kemudaratan saya dan anak saya mental dan fizikal,” katanya kepada Gempak.
Uqasha berkata demikian ketika ditemui sejurus prosiding ketiga kes perceraiannya dengan Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Rabu.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan kedua-dua pihak akan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi berbincang sebelum prosiding seterusnya pada 18 Disember depan.
“Hari ini adalah prosiding ketiga dan masing-masing membawa wakil JKP. Akan ada satu tarikh untuk berjumpa di JAWI bagi berbincang. Perjumpaan JAWI akan berlangsung terlebih dahulu sebelum prosiding seterusnya iaitu pada 18 Disember depan.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira berusia setahun sembilan bulan.