Pelakon dan penyanyi Kilafairy akhirnya membuka kisah sebenar di sebalik keputusannya untuk berhijab, selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri.
Menurut pemilik nama penuh Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, segalanya bermula selepas satu mimpi luar biasa yang benar-benar mengubah hidupnya.
Advertisement
“Selama bertahun-tahun, doa saya cuma satu, ‘Ya Allah, saya nak jadi Muslimah yang baik. Tunjukkan saya jalan dan takutkan saya’,” ujarnya.
Menurut Kilafairy, malam itu doanya dijawab dengan satu pengalaman luar biasa yang kekal dalam ingatannya hingga kini.
“Malam itu, saya tidur dan bermimpi nampak setiap perincian tentang syurga dan neraka. Selepas terjaga, saya terus pesan (beli) tudung dan ambil selendang milik mama. Saya juga hubungi Neelofa, masa itu dia belum kahwin dengan Haris. Dia tanya nak ustaz terjemahkan mimpi, jadi saya jumpa Haris,” katanya dalam satu sesi audio siar.
Anak kepada penyanyi legenda Allahyarham Rohana Jalil itu turut berkongsi bahawa setiap butiran yang dilihatnya dalam mimpi seakan sama dengan apa yang tercatat dalam al-Quran dan hadis.
“Setiap perincian saya mimpi ada dalam hadis dan al-Quran. Contoh, saya boleh nampak urat tangan syaitan-syaitan ada lava. Suara macam petir, tinggi macam gunung. Sebelah sini tolak orang dalam gaung, sebelah sini tarik lidah potong. Saya nampak dan terfikir macam mana boleh dapat mimpi begini,” kongsinya.
Antara detik paling menyentuh hati ialah ketika PU Riz (Haris Ismail) menjelaskan bahawa mimpi itu bukan sekadar kebetulan, tetapi satu petanda dan rahmat daripada Allah.
“Bahagian yang seronok, ada satu manusia gelap macam Bilal (tukang azan). Masa tengah potong tangan, orang ini jejak di neraka, terus jadi sungai warna macam dalam hadis cakap fasal syurga. Saya dalam syurga, saya cakap kawan-kawan saya di sana (neraka). Dia cakap tak boleh, kena selamatkan seorang saja. Saya beritahu Haris, dia cakap awak beruntung sebab awak akan berakhir di syurga. Ada harapan,” katanya.
Namun, di sebalik ketenangan yang dipamerkan, Kilafairy tidak menafikan pernah berdepan ujian iman selepas berhijab.
“Sebelum ini, saya berperang dengan perasaan yang terdetik untuk kembali tidak bertudung,” ujarnya.
Pelakon filem Karak itu yang mula bertudung pada tahun 2020 turut mengakui baru memahami betapa sukarnya untuk kekal istiqamah.
“Perjalanan ini bukan mudah, tapi saya tahu Allah tunjuk jalan ini untuk saya, dan saya kena teruskan,” tambahnya.