Sekilas
- Pelakon Zul Ariffin rindu untuk kembali berlakon dalam drama cinta selepas genre tersebut kurang diketengahkan dalam drama masa kini yang lebih fokus pada konflik rumah tangga dan kecurangan.
- Zul lebih suka cerita cinta yang santai dan romantik komedi kerana ia memberikan pengalaman berbeza dan membuat penonton tersenyum tanpa terlalu banyak konflik awal.
- Zul akan bergandingan dengan Siti Khadijah dalam telefilem Takdirnya Cinta yang mengangkat kisah cinta matang dengan penekanan pada emosi dan dialog, tanpa terlalu bergantung pada sentuhan fizikal.
Pelakon Zul Ariffin mengakui kerinduan terhadap naskhah bergenre drama cinta menjadi antara sebab dia kembali terbabit dalam karya sedemikian selepas sekian lama.
Menurut Zul, kebanyakan kandungan drama di televisyen mahupun platform penstriman ketika ini lebih banyak mengetengahkan konflik rumah tangga dan kecurangan berbanding kisah cinta seperti yang pernah popular sekitar lapan hingga 10 tahun lalu.
“Saya sebenarnya rindu tetapi saya rasa sekarang ini genre cerita kalau platform OTT atau televisyen kebanyakannya ke arah suami isteri, kecurangan dan perkara-perkara macam itu.
“Kalau tak salah saya, romantik komedi ini macam lapan atau 10 tahun lepas ketika saya awal-awal buat drama. Harap-harap genre sebegitu akan datang kembali,” katanya.
Dalam masa sama, Zul berkata, dia menyukai perjalanan cerita cinta yang lebih santai kerana mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton berbanding naskhah yang sarat dengan konflik sejak episod awal.
“Kalau cerita yang ke arah kecurangan, episod pertama, kedua atau ketiga sudah ‘boom’ dan agresif supaya orang rasa tak suka itu dan ini.
“Tapi kalau romantik komedi atau ‘love story’, grafnya cantik. Ada bahagian ‘cute’ yang sedikit sebanyak buat penonton senyum dan sengih-sengih dekat rumah tengok,” ujarnya.
Untuk info, Zul bakal bergandingan buat pertama kali dengan Siti Khadijah menerusi telefilem Takdirnya Cinta yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Istanbul, Turkiye.
Naskhah arahan Izuan Mokhtar itu mengetengahkan kisah cinta matang dengan memberi penekanan terhadap emosi, dialog dan pandangan tanpa terlalu bergantung kepada sentuhan fizikal.