Sekilas
- Umie Aida minta pihak produksi sediakan ulat sebenar sebagai prop untuk babak watak Puan Sri Asyikin dalam drama The Hidden Hand supaya lebih realistik dan menyeramkan.
- Watak Puan Sri Asyikin digambarkan sebagai wanita berhijab yang tiada pegangan agama kuat, terjebak dalam perbuatan syirik selepas dikhianati suami dan dipengaruhi bisikan syaitan.
- Drama ini juga memberi peringatan supaya berhati-hati dalam berkata-kata kerana gurauan boleh mengguris hati orang lain dan memberi kesan psikologi yang mendalam.
Pelakon, Umie Aida mengakui dia sendiri meminta pihak produksi untuk menyediakan ulat sebenar sebagai prop tambahan bagi menjayakan karakter Puan Sri Asyikin yang disihir dalam drama The Hidden Hand atau Dia Perempuan Sialan.
Menurut Umie, permintaan tersebut dibuat kerana dia mahu babak berkenaan tampil lebih realistik selain memberikan kesan yang lebih menyeramkan kepada penonton.
“Saya sendiri yang minta ulat itu. Saya mahu buat sesuatu yang memberikan klimaks dan kelainan dalam babak tersebut.
“Kita fikir juga ulat tahap mana yang boleh masuk TV. Kalau bab dukun atau rasuk ini, tidak boleh keterlaluan sangat, jadi saya tanya ulat jenis bagaimana yang sesuai dan mahu lakukannya.Akrobatik pun saya buat sendiri. Saya kan lincah,” selorohnya.
Mengulas mengenai karakter Puan Sri Asyikin, Umie berkata watak wanita berhijab yang hidup dalam kemewahan itu sebenarnya digambarkan sebagai seorang isteri yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat.
Menurutnya, tekanan yang dihadapi Puan Sri Asyikin selepas dikhianati suami yang mempunyai hubungan sulit akhirnya menyebabkan wanita berkenaan terjebak dalam perbuatan syirik serta dipengaruhi oleh bisikan syaitan.
“Kekuatan dia adalah suaminya. Apabila dia mendapati suaminya cuba curang atau mengkhianatinya, di situlah muncul perasaan kesumat, dengki dan khianat.
“Apabila tiada pegangan hidup, dia mula mendengar bisikan syaitan dan menggunakan mandram untuk memikat hati suaminya semula. Malah, dia melepaskan tekanan itu dengan mendera pembantu rumah dan anak-anak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Umie berkata The Hidden Hand turut membawa peringatan kepada penonton supaya lebih berhati-hati ketika berkata-kata kerana kata-kata yang dianggap sekadar gurauan boleh meninggalkan kesan mendalam kepada orang lain.
“Berhati-hatilah ketika berkata-kata walaupun kita tidak tahu siapa yang kita tuju.
“Kadang-kadang kita rasa benda itu sekadar gurauan, tapi ia mengguris hati orang sehingga dia sakit hati dan tidak boleh tidur malam. Psikologi manusia era sekarang sangat sensitif. Cuit sikit boleh melenting. Jika tidak mampu bercakap benda yang baik, lebih baik tutup mulut. Nilai kemanusiaan sekarang semakin menipis,” pesannya.
Drama The Hidden Hand atau Dia Perempuan Sialan kini ditayangkan menerusi aplikasi Viu, selain turut menampilkan barisan pelakon seperti Meerqeen, Caitlin Halderman, Hannah Delisha dan Amerul Affendi.