Sekilas
- Penyanyi Ayu Damit mengalami sesak nafas dan muntah sebelum dikejarkan ke Pantai Hospital Cheras untuk pemeriksaan lanjut.
- Doktor mengesahkan Ayu mempunyai batu dalam hempedu dan sejarah fibroid yang mungkin menyebabkan sakit perutnya.
- Ayu masih menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti punca sebenar sesak nafas dan meminta orang ramai tidak membuat andaian.
Penyanyi Ayu Damit berdepan detik mencemaskan apabila tiba-tiba mengalami sesak nafas sekitar jam 3 pagi hari ini, sebelum dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya semakin tidak selesa.
Berkongsi mengenai kejadian itu, Ayu berkata, pada awalnya dia mengalami sesak nafas dan suaminya cuba membantu dengan menyapu minyak pada dadanya.
"Pukul 3 pagi saya sesak nafas. Suami saya letak minyak, kemudian saya tidur balik.
"Lepas itu lebih kurang pukul 6 pagi saya terjaga semula sebab rasa loya dan muntah. Pukul 3 tadi pun saya muntah, kemudian pukul 6 saya muntah lagi," katanya.
Bimbang dengan keadaan tersebut, suami Ayu, kemudian mengambil keputusan untuk membawanya ke Pantai Hospital Cheras bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan awal doktor, Ayu disahkan mempunyai batu dalam hempedu yang dipercayai menjadi antara punca masalah sakit perut yang dialaminya.
Dalam masa sama, penyanyi itu turut mempunyai sejarah fibroid yang sebelum ini menyebabkan dirinya mengalami sakit pada bahagian perut.
"Doktor sahkan ada batu dalam hempedu. Saya memang ada fibroid sebelum ini dan fibroid itu pun memberi kesan kepada sakit perut saya.
"Cuma untuk sesak nafas itu, doktor masih dalam pemeriksaan. Mereka akan beritahu kemudian apa sebenarnya yang menyebabkan saya sesak nafas," katanya.
Menurut Ayu, buat masa ini doktor masih menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar sesak nafas yang dialaminya.
Justeru, Ayu meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian mengenai keadaan kesihatannya selagi pemeriksaan doktor belum selesai.
Bagi penyanyi yang juga Juara program realiti One In A Milion (OIAM) musim kedua itu, pengalaman berkenaan menjadi satu detik yang cukup mencemaskan, apatah lagi ia berlaku secara tiba-tiba pada awal pagi.
Buat masa ini, Ayu masih mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital serta berharap semuanya dipermudahkan.
"Doakan saya supaya semuanya okay dan dipermudahkan," katanya.