Sekilas
- Profesor Adjung Datuk Ramli MS berharap bekas juara Akademi Fantasia yang bertanding dalam Gegar Vaganza Fantasia (GV13) akan menunjukkan persembahan vokal yang lebih matang dan berkualiti selepas 20 tahun pengalaman.
- Tok Ram menegaskan beliau akan tegas dalam menilai persembahan peserta dan tidak akan berkompromi jika mereka gagal memberikan persembahan yang memuaskan.
- GV Fantasia akan bermula pada hari Ahad dengan penyertaan sembilan juara AF, termasuk Vince, Mawi, Zahid, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Faizal Ramly, Faizul Sani dan Firman.
Pernah bergelar pengetua program Akademi Fantasia kira-kira 20 tahun lalu, maestro muzik, Profesor Adjung Datuk Ramli MS meletakkan harapan tinggi terhadap barisan bekas juara AF yang bakal berentap dalam Gegar Vaganza Fantasia atau GV13.
Menurut Ramli MS atau Tok Ram, tempoh dua dekad yang dilalui para peserta sepatutnya mematangkan pengalaman serta kemampuan vokal mereka, sekali gus diterjemahkan menerusi persembahan yang lebih berkualiti di pentas GV13.
“Benda ini satu benda intelektual. Suara mereka selepas 20 tahun sudah matang. Dalam GV, mereka kena menyanyikan lagu orang. Di situ permainan bermula.
“Sudah semestinya saya rasa mereka ada pengalaman menyanyi, jadi saya jangkakan mereka melakukan persembahan seperti sepatutnya,” katanya.
Sebagai individu yang pernah membimbing dan memberikan asas seni kepada peserta AF sebelum ini, Tok Ram menegaskan dia tidak akan berkompromi sekiranya mereka gagal memberikan persembahan yang memuaskan.
Jelasnya, pengalaman serta ilmu teori dan praktikal yang pernah diberikan ketika menyertai AF seharusnya menjadi kelebihan buat mereka untuk tampil dengan standard lebih tinggi.
“Bukan lebih tegas, saya akan firm dari segi apa yang mereka berikan. Saya yang berikan pelajaran dalam AF.
“Dibandingkan dengan artis-artis lain, mereka tiada apa-apa. Kali ini mereka dah diberikan teori dan praktikal.
“Bila 20 tahun dah merantau banyak tempat, sudah pasti benda itu menuntut balik. Mereka perlu beri balik dengan standard yang lebih,” ujarnya.
Tambah Tok Ram, setiap peserta perlu memanfaatkan peluang yang diberikan di atas pentas kerana tempoh persembahan yang singkat menjadi ruang terbaik untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Saya tak nak dengar apa-apa alasan sebab bila saya dengar suara mereka sekarang dah matang.
“Saya jangkakan praktikal mereka akan lebih baik. Bila datang sini, kena buat yang terbaik,” tegasnya.
Mengulas mengenai ketegasannya sebagai juri, Tok Ram menjelaskan setiap komen dan kritikan yang diberikan bertujuan membantu peserta memperbaiki mutu persembahan pada minggu berikutnya.
“Bukan masalah berani atau tak, walaupun ada undian mereka kena menyanyi betul-betul. Ini GV, kena lakukan terbaik.
“Tidak ada bantuan daripada luar. Kalau awak menyanyi sumbang, takkan saya nak senyum? Tidak, memang tugas saya untuk komen bagi kebaikan minggu seterusnya.
“Bukan menghentam atau mengkritik, tapi kalau ada yang malas atau ambil sambil lewa, mereka akan kena. Mereka ada dua minit setengah saja untuk buat persembahan, kenapa tak buat elok-elok?” katanya.
Pentas GV Fantasia bakal membuka tirai pada Ahad dengan penyertaan sembilan juara AF iaitu Vince, Mawi, Zahid, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Faizal Ramly, Faizul Sani dan Firman.
Sementara itu, Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Terima kasih diucapkan kepada penaja kerana terus bekerjasama dengan Gegar Vaganza.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.