Sekilas
- Dr Afifah berharap Nubhan dapat bersama-sama memaklumkan berita perpisahan mereka kepada anak-anak supaya tidak menjadi watak jahat dalam cerita tersebut.
- Keadaan mental dan emosi anak-anak mereka dilaporkan stabil tanpa gangguan walaupun anak kedua sudah mula curiga dengan perubahan situasi keluarga.
- Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan perceraian Nubhan dan Dr Afifah buat kali kedua, selepas perkahwinan mereka sejak 2015 dan dikurniakan tiga anak.
Bekas isteri kepada Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berharap penyanyi itu dapat bekerjasama dalam memaklumkan berita perpisahan mereka pada anak-anak.
Menurut Afifah atau dikenali sebagai Dr Fie, 33, dia enggan menjadi individu yang dilihat sebagai penyampai khabar buruk kepada anak-anak tanpa kehadiran bapa mereka.
"Saya harap Nubhan dapat bekerjasama untuk beritahu pada anak-anak. Buat masa sekarang saya cuma beralasan yang ayah mereka sibuk bekerja.
"Saya tak nak jadi watak jahat ketika beritahu berita buruk ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Dr Fie memaklumkan keadaan mental dan emosi anak-anak setakat ini masih stabil serta tidak menunjukkan gangguan akibat isu rumah tangga mereka.
"Saya ada tanya cikgu di sekolah tentang perkembangan anak-anak. Alhamdulillah tiada perubahan drastik, tiada menangis, tiada kawan ejek, semua baik," luahnya.
Bagaimanapun, Dr Fie mendedahkan anak keduanya seakan-akan sudah curiga apabila mereka dilihat sudah tidak bersama.
"Anak pertama saya rasa sudah boleh faham jika saya beritahu tapi anak kedua pula ada bertanya kenapa Abah tak balik, kenapa tak ikut Abah.
"Setakat ini saya belum beritahu sebetul-betulnya pada anak," katanya.
Pada Selasa, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.
Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.