Usahawan dan personaliti media sosial, Ahmad Iqbal Zulkefli mengakui tidak terfikir untuk menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasihnya, Datuk Seri Vida sekiranya menerima undangan bagi meraikan hari bahagianya bersama Datuk Fazley Yaakob.
Jelas Iqbal, keputusan itu diambil kerana tidak mahu merasakan kehadirannya di majlis tersebut akan menimbulkan pelbagai persepsi dan persoalan, selain tidak mahu kisah silam kembali menjadi perhatian.
“Saya rasa saya tidak akan hadir ke majlis tersebut. Bagaimana saya hendak hadir sedangkan kehadiran saya mungkin menimbulkan pelbagai cerita dan persoalan? Apakah tujuan saya datang ke majlis itu? Namun, jika bertemu di luar, saya mungkin boleh berjumpa dengan Datuk Fazley.
“Mengenai Datuk Seri Vida pula, saya rasa saya sudah meletakkan batasan. Walaupun jika kami menghadiri majlis televisyen atau acara tertentu, sudah tentu kami akan bertemu. Sebenarnya, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama DSV, Iqbal berkata, dia sudah lama keluar daripada kisah itu dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Sebenarnya, saya menerima perkara ini dengan hati yang terbuka dan saya sudah lama meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya juga mengenali Datuk Fazley. Beliau seorang yang sangat baik, yang saya fahami dan segani. Beliau juga merupakan idola saya.
“Sebagai seorang manusia, saya mendoakan kebahagiaan mereka dan berharap agar perkara yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang lagi. Semoga kali ini mereka benar-benar mengecapi kebahagiaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iqbal mengakui perjalanan hidupnya banyak berubah, termasuk dari segi cara hidup dan perniagaan, seiring peningkatan usia serta pengalaman yang dilalui.
Katanya, dia kini lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana dan tidak lagi terlalu terbuka berkongsi perkara peribadi atau mengambil tahu mengenai perbualan netizen di media sosial.
“Apabila semakin dewasa, saya merasakan perubahan itu berlaku tanpa saya sedari. Saya semakin memikirkan orang di sekeliling dan bukan sekadar mahukan perhatian di media sosial atau mengambil kira apa yang diperkatakan netizen.
“Semakin kita berjaya, semakin banyak perkara lain yang perlu kita fikirkan. Saya juga perlu menjaga hati dan perasaan orang di sekeliling,” katanya lagi.
Tambahnya, dia tidak menyimpan perasaan dendam atau permusuhan terhadap sesiapa, sebaliknya memilih untuk menerima perubahan dalam kehidupan dengan hati terbuka serta mengekalkan hubungan secara profesional.
Terdahulu, Fazley mencuri tumpuan apabila melamar Vida ketika membuat kemunculan di 11.11 Mega Stock Live Concert.
Momen istimewa itu sekali gus menjawab pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka yang sebelum ini menjadi perhatian ramai.
Bagi melengkapkan lamaran tersebut, Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran Vida memakai mahkota atau crown.
Rekaan berkenaan merupakan satu-satunya yang dihasilkan khusus buat Vida sebagai simbolik kepada keistimewaan wanita itu di mata Fazley.
Difahamkan, kejutan romantis berkenaan menelan belanja sebanyak RM500,000.