Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, berkongsi sisi sebenar di sebalik dunia glamor yang ramai tak tahu.
Di sebalik senyuman manis dan gaya penuh keyakinan di pentas, perjalanan menuju ke gelanggang pertandingan Miss Universe pada 21 November nanti terisi penuh dengan latihan intensif daripada segala aspek.
Advertisement
Jelas Chloe, 27, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025 pada September lalu.
“Sejak hari saya menang (Miss Universe Malaysia 2025), memang non stop jadual saya. Miss Universe bukan sekadar cantik tapi gelaran ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
"Ada latihan catwalk, belajar make up dan rambut sendiri, kena asah skil soal jawab, posing, serta belajar rasa selesa di depan kamera,” katanya kepada Gempak.

Si gadis cantik berasal dari Kuala Lumpur itu akui masa rehatnya juga sangat singkat, namun setiap saat yang diluangkan amat bernilai.
“Normallah tak cukup tidur, lazimnya sekarang saya hanya tidur empat atau lima jam saja sehari,” dedahnya.
Selain sibuk berlatih, Chloe juga aktif menghadiri pelbagai acara rasmi termasuk ASEAN Youth Entrepreneurship Carnival Conference. Cloe melihatnya sebagai peluang untuk membina keperibadian dirinya.
“Saya percaya Miss Malaysia perlu lebih daripada rupa paras. Dia mesti bijak, tahu bercakap tentang isu semasa dan ada tujuan yang jelas. Saya nak bawa imej wanita Malaysia yang bukan sahaja bergaya, tetapi juga berprinsip dan berjiwa besar,” katanya lagi.

Teruja namun dalam masa sama gementar untuk berentap di pentas bertaraf dunia bulan hadapan, tambah Chloe persiapannya kini lebih kepada aspek fizikal, mental dan emosi.
“Tiga minggu nanti saya akan berada di sana bersama peserta dari seluruh dunia. Saya kena kuat, yakin dan jadi versi terbaik diri saya. Miss Universe bukan pertandingan biasa, ini pentas dunia.
“Saya teruja tapi dalam masa yang sama memang ada rasa gugup. Apa pun, saya sudah buat sehabis baik. Sekarang fokus saya cuma satu, saya mahu buat Malaysia bangga," tambahnya.

Apabila ditanya segmen mana yang paling dinantikan, Chloe pantas menjawab segmen evening gown.
“Saya suka sesuatu yang penuh keanggunan. Segmen ini peluang untuk saya tunjukkan kreativiti Malaysia di pentas dunia.
“Ramai ingat Miss Universe ni hidupnya mudah dan glamor, tapi realitinya banyak kerja keras dan pengorbanan. Ada air mata, ada penat, tapi saya percaya semua usaha ni berbaloi bila dapat membawa nama Malaysia di mata dunia," tutup bicaranya.
Cloe akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe 2025 di Impact Challenger Hall di Pak Kret, Nonthaburi, Thailand pada November hadapan.
Sementara itu, Beyond the Crown ialah inisiatif kerjasama antara Zetrix dan Miss Universe yang memperkenalkan platform berasaskan blok rantai untuk undian peminat global dan perkongsian kisah peserta secara telus dan interaktif.
Melalui aplikasi khas ini, peminat di seluruh dunia boleh mengundi peserta kegemaran mereka sambil mengenali perjuangan sosial dan peribadi yang dibawa oleh setiap wakil negara.
Inisiatif ini menonjolkan nilai tujuan, pemerkasaan dan impak positif melebihi sekadar mahkota kemenangan, serta membina komuniti digital yang lebih rapat antara peminat dan peserta.
Peserta dengan undian tertinggi bakal menerima habuan RM211,332 (USD50,000) bagi menyokong kerja advokasi mereka.
Kerjasama ini turut menandakan langkah strategik Zetrix AI Berhad (dahulunya MY E.G. Services) dalam memperkukuh teknologi blockchain dan kecerdasan buatan di pentas global menerusi pertandingan ratu cantik paling berprestij di dunia.