Aisha Retno tidak dapat menahan sebak selepas melihat kehadiran peminat yang hadir ke showcasenya, The Aisha Experience yang berlangsung di Jio Space pada Sabtu lalu.
Menurut Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, penganjuran showcase ini adalah titik permulaan untuk dirinya dikenali lebih mendalam sebagai seorang artis.
Advertisement
“Walaupun ini bukan persembahan berskala besar, saya rasa tetap gembira apatah lagi tengok pula ‘full house’ malam ini. MasyaAllah, menerusi persembahan ini orang boleh lebih mengenali saya.
“Sebelum ini ada yang cakap saya tak layak buat konsert, jadi mungkin ini permulaan untuk kalian mengenali saya lebih mendalam lagi dan mungkin saya akan buat showcase lagi, mungkin di Borneo atau tempat lain. Insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga Big Stage musim keempat ini turut menzahirkan penghargaan buat kelab peminatnya, Aishalicious, yang banyak memberi semangat untuk terus melangkah dalam dunia seni.
“Sudah tentu Aishalicious, dan mereka yang selalu mengikuti cerita saya di media sosial dan mereka yang menyokong saya dari Big Stage, Anugerah Juara Lagu (AJL) dan semuanya.
“Rakan-rakan selebriti juga memberikan sokongan untuk saya meneruskan perjalanan saya sebab seperti apa yang saya katakan di atas pentas tadi, saya mahu melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya tapi mungkin Allah kata habiskan dulu minat saya,” tambahnya.
Difahamkan, showcase anjuran LOL Asia itu berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 peminat yang hadir memeriahkan The Aisha Experience.
Aisha tampil menyanyikan 20 buah lagu yang melonjakkan namanya seperti Jeda, Samudera, Terbang, Mengikat Jiwa, Pencarianku, Sutera dan Tak Adil, selain mempersembahkan lagu baharunya bersama Ade Govinda berjudul Semoga Saja.
Showcase itu turut diserikan dengan kemunculan penyanyi jemputan seperti Liza Hanim, Aizat Amdan, Megat Fazly (Mafidz), Sya dan Lucidrari.
Terdahulu, Aisha sepatutnya mengadakan konsert Malam Sutera Aisha Retno pada 6 November tahun lalu tetapi dibatalkan pihak Kharisma Music International atas alasan jualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Bagaimanapun Aisha menyifatkan tindakan pihak penganjur mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan konsert solonya sebagai tidak profesional.