Sekilas
- Janna Nick meminta orang ramai agar tidak terlalu bersimpati dengan dirinya yang masih dalam fasa trying to conceive (TTC).
- Dia menerima ketentuan Allah dan percaya setiap perancangan-Nya adalah yang terbaik untuk dirinya dan suami.
- Janna mengakui perasaan sedih datang dan pergi, namun memilih untuk fokus pada sisi positif hidup berdua bersama suami.
Pelakon, Janna Nick meminta orang ramai supaya tidak terlalu bersimpati dengan dirinya yang masih melalui fasa untuk mendapatkan cahaya mata atau trying to conceive (TTC).
Menurut Janna, dia berada dalam keadaan baik dan sudah menerima ketentuan yang ditetapkan Allah SWT, selain percaya setiap perancangan-Nya adalah yang terbaik buat dirinya dan suami.
“Korang janganlah simpati sangat dengan takdir orang TTC macam I ini.
“I okay saja. I reda dengan ketentuan Allah SWT dan I yakin dengan perancangan-Nya.
“Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.
Bagaimanapun, Janna mengakui perasaan sedih tetap hadir dari semasa ke semasa dan menganggap ia sebagai sesuatu yang normal dalam menjalani kehidupan.
“Sedih sikit-sikit itu biasalah. Ada momen-momen macam itu yang datang dan pergi.
“Kadang-kadang memang tak boleh nak kawal,” ujarnya.
Dalam masa sama, Janna memilih untuk melihat sisi positif dalam kehidupan bersama suami meskipun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Hidup berdua saja pun tak adalah sendu sangat. Bosan-bosan, boleh ‘travel’ tanpa fikir cuti sekolah anak,” selorohnya.