Sekilas
- Kaka Azraff akhirnya melancarkan album sulungnya, MPT, selepas 16 tahun dalam industri muzik.
- Album ini mengandungi 6 lagu yang diinspirasikan daripada pengalaman dan cerita sebenar, dengan fokus pada kejujuran dan emosi tulen.
- MPT dihasilkan bersama penerbit SonaOne dan Yonnyboii, serta mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif dan distribusi Universal Music Malaysia.
Setelah 16 tahun berada dalam industri, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya berjaya mengakhiri penantian peminat dengan membawa buah tangan berbentuk album sulungnya iaitu MPT.
Menurut Kaka, dia berasa bersyukur kerana impiannya untuk memiliki album sendiri telah tercapai.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur, tetapi saya sendiri pun tiada jawapan mengapa ambil masa begitu lama untuk buat album.
“Cuma saya yakin ini adalah masa yang tepat sebab saya rasa perkongsian cerita dalam album ini lagi real, raw dan tidak di buat-buat.
“Apa yang saya persembahkan itu semuanya lahir daripada kejujuran,” ujarnya.
Kaka berkata demikian ketika ditemui pada sesi Showcase & Listening Party, bertempat di Kafe Bijou, Ara Damansara, baru-baru ini.
Menariknya lagi, kesemua lagu di dalam album sulungnya ini membawakan pengalaman hasil kolektif sepanjang tiga tahun Kaka memilih untuk tidak berada di bawah sorotan utama.
Pelbagai pengalaman, perbualan dan perkongsian daripada orang sekeliling menjadi sumber idea utama dalam membentuk arah dan identiti album ini, sekali gus memberi ruang untuk Kaka untuk berkarya.
Kesemua elemen tersebut akhirnya menjadi teras bagi bunyi MPT.
MPT yang diambil dari perkataan eMPaTI, membawa maksud kemampuan untuk memahami perasaan atau pengalaman orang lain, seolah-oleh kita berada di posisi mereka.
Album ini menampilkan 6 buah lagu yang masing-masing membawa naratif tersendiri; Berubah, Cabar, Arguments , Bully, Takleh Usik dan Aku .
Dalam proses penghasilan lagu-lagu ini, fokus tidak diberikan kepada pencarian kesempurnaan atau aspek teknikal semata-mata, sebaliknya kepada kejujuran dan keaslian emosi yang ingin disampaikan.
Album ini merupakan hasil kolaborasi terbitan bersama dua penerbit SonaOne dan juga Yonnyboii bagi menghasilkan melodi yang harmoni sesuai dengan naratif album ini.
MPT tidak diposisikan sebagai satu bentuk kemunculan semula, tetapi sebagai kesinambungan kepada perjalanan seni Kaka.
Ia merupakan satu fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada setiap pengalaman, hubungan dan ruang yang telah dilalui.
Secara keseluruhan, MPT menandakan satu langkah ke hadapan, bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga dari sudut kehidupan, sekali gus mencerminkan kematangan dan perkembangan yang berlaku secara tenang dan berperingkat.
Album ini dihasilkan dengan usahasama pelbagai pihak serta sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta distribusi Universal
Music Malaysia. Album MPT akan dilancarkan pada hujung Januari 2026.