Selepas dua dekad, pelakon Aedy Ashraf meluahkan rasa teruja apabila namanya kembali tersenarai sebagai calon di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).
Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, berkata kali terakhir dia tercalon dalam anugerah berprestij itu adalah ketika berusia 12 tahun, menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di FFM20 pada tahun 2007.
“Ketika itu pencalonan kategori kanak-kanak dan Syafiq Naswip yang menang. Ia berlangsung di Penang kalau tak silap saya.
Advertisement
“Itu juga merupakan kali pertama saya dicalonkan dalam anugerah berprestij di Malaysia,” katanya.
Aedy ditemui ketika menghadiri pada sidang media filem Klepet yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, Aedy berkata peluang untuk kembali tercalon selepas lebih 20 tahun bergelar anak seni adalah antara impiannya yang kini tercapai.
“Ia memang jadi impian saya untuk tercalon. Bila nama dah ada dalam senarai, itu sudah cukup, selebihnya saya tak nak fikir.
“Saingan sangat sengit, bila tengok senarai calon memang rasa teruja. Bagi saya, tercalon bersama yang terbaik pun sudah beri semangat untuk hasilkan karya lebih baik pada masa depan,” ujarnya.
Pelakon Imaginur itu turut menyatakan rasa bangga dapat berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri seperti Eman Manan, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly.
Selain itu, Aedy turut percaya barisan juri FFM34 akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil dan profesional.
“Saya percaya juri bukan calang-calang orangnya dan saya sangat menghormati mereka walaupun tidak tahu siapa.
“Pada malam itu saya hadir untuk meraikan sesiapa saja yang menang kerana saya rasa semua yang tercalon layak diraikan.
“Industri kita kecil, bila saling menyokong ia akan menjadikan industri lebih baik,” katanya.
Dengan semangat dan keikhlasan yang ditunjukkan, pencalonan Aedy Ashraf di FFM34 menjadi bukti perjalanan panjangnya dalam dunia seni kini kembali membuahkan hasil.