Sekilas
- Zizi Kirana berkongsi detik manis apabila Malique dan Yasin Sulaiman bertemu semula selepas hampir 20 tahun tidak bersua ketika rakaman lagu 'Yang Tinggal' di Hospital Ulu Kinta.
- Projek lagu ini bermula dengan hasrat Malique untuk menghasilkan lagu berunsur seperti 'Alhamdulillah' dan akhirnya memilih Yasin sebagai penyanyi kerana karakter vokalnya yang sesuai.
- Proses mendapatkan kelulusan rakaman di hospital mengambil masa hampir dua minggu dan mendapat kerjasama penuh dari pihak hospital sepanjang sesi rakaman berlangsung.
Penyanyi, Zizi Kirana berkongsi detik istimewa apabila penyanyi dan penulis lirik terkenal, Malique akhirnya dipertemukan semula dengan sahabat lamanya, Yasin Sulaiman selepas kira-kira dua dekad tidak bersua.
Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, pertemuan itu berlaku ketika proses rakaman lagu Yang Tinggal yang diadakan khas di Hospital Ulu Kinta buat Yasin.
"Malique turut serta untuk berjumpa Yasin dan merakamkan lagu di sana. Dia pun rindu kepada sahabat lamanya.
"Bila tengok momen Malique bertemu kembali dengan Yasin, saya rasa sangat comel. Sudah 20 tahun mereka tidak berjumpa. Bila kami dapat bawa mereka bertemu, momen itu sangat berharga dan saya sendiri tak tahu bila lagi dapat melihat saat seperti itu," katanya kepada Gempak.
Menurut Zizi, idea tersebut tercetus apabila Malique menyuarakan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu yang membawa nuansa seperti lagu ikonik Alhamdulillah.
Pada peringkat awal, mereka merancang untuk mendapatkan penyanyi antarabangsa, Maher Zain untuk menjayakan projek tersebut.
Bagaimanapun, hasil perbincangan bersama Iman Tang, mereka merasakan Yasin memiliki karakter vokal yang paling sesuai untuk karya berkenaan.
"Ada beberapa penyanyi lelaki yang kami senaraikan. Masa di Kuala Lumpur kami ada satu acara di Axiata Arena dan saya terserempak dengan Abang Iman Tang.
"Saya beritahu Malique ada perancangan untuk menghasilkan lagu dan pada asalnya dia mahu mendapatkan Maher Zain. Tetapi Abang Iman cakap proses itu mungkin mengambil masa kerana Malique sangat teliti dan mahu memastikan suara penyanyi benar-benar sesuai dengan lagunya.
"Saya dan Iman terus terfikir, Yasin sahaja yang ada warna suara ala Arab seperti yang kami mahukan ketika itu," ujarnya.
Menurut Zizi, mereka tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana proses mendapatkan kelulusan mengambil masa hampir dua minggu.
"Kebetulan Allah menemukan saya dengan Abang Syafiq dan beberapa individu yang membantu menguruskan permohonan untuk kami ke Hospital Bahagia bertemu Yasin. Kami fikir kalau diberi peluang, mungkin kami boleh terus merakamkan lagu di sana. Jadi, Abang Syafiq dan Iman menguruskan semua permohonan serta surat yang diperlukan.
"Kami memang tak 100 peratus yakin akan mendapat kebenaran ketika itu. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau tidak, kami akan mencari penyanyi lain. Selepas hampir dua minggu, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Semua kelulusan diperoleh dan kami dibenarkan datang," ujarnya.
Lebih mengharukan, pihak hospital turut memberikan kerjasama penuh sepanjang sesi rakaman berlangsung.
"Kami bawa sendiri semua peralatan rakaman ke sana. Alhamdulillah, pihak hospital sangat membantu dan menyediakan sebuah bilik mesyuarat atau seminar untuk kami menjalankan sesi rakaman. Bagi saya, impian menghasilkan lagu yang mampu mengembalikan aura seperti Alhamdulillah akhirnya menjadi kenyataan dengan izin Allah," tambahnya.
Terbaharu, Zizi Kirana baharu sahaja melancarkan lagu terbaharunya nyanyian bersama Malique dan Yasin Sulaiman berjudul Yang Tinggal.