Sekilas
- Kelab peminat Team BASS Official menghadiahkan replika foto emas 999 khas kepada Bella Astillah dan Syed Saddiq sempena majlis pernikahan mereka.
- Hadiah tersebut diukir dengan gambar keluarga mereka dan melambangkan kasih sayang serta kenangan yang boleh disimpan lama.
- Majlis akad nikah Bella dan Syed Saddiq berlangsung di Merdeka 118 Precinct dengan tema Islamic Arabic dan dihadiri 255 jemputan.
Kelab peminat pasangan selebriti Bella Astillah dan Syed Saddiq memberikan hadiah istimewa berupa replika foto yang diperbuat daripada emas 999 bersempena majlis pernikahan mereka minggu lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, kelab peminat yang bernama Team BASS Offiicial (TBO) itu dilihat memuat naik video memaparkan reaksi Bella dan Syed Saddiq yang terkejut menerima hadiah tersebut.
Menerusi perkongsian yang sama, mereka turut berkongsi kisah disebalik hadiah yang mereka tempah dari luar negara itu.
"Ada satu cerita di sebalik hadiah yang kami nak kongsikan kepada semua. Lama juga fikir, apa agaknya hadiah yang bermakna untuk YB dan Bella?
"Kami nak sesuatu yang bukan sekadar cantik, tapi boleh disimpan dan dikenang sampai bila-bila. Sampailah kami diperkenalkan dengan Golfinch.
"Apa kata kalau kami hadiahkan emas 999 yang diukir khas dengan gambar YB, Bella, Ayden dan Ara?" kongsi mereka.
Tambah TBO, hadiah emas tersebut merupakan tanda kasih dan sayang mereka terhadap Bella serta Syed Saddiq dan bukanlah kerana nilai semata-mata.
"Kami terbayang, satu hari nanti bila Ayden dan Ara dah besar, mereka akan memandang ukiran ini dan tahu bahawa pernah ada sekumpulan manusia yang begitu gembira meraikan kebahagiaan keluarga mereka.
"Di sebalik hadiah ini, ada sumbangan, usaha, kasih sayang dan doa daripada TBO dan seluruh BASSties. Walaupun datang daripada pelbagai tempat dan latar kehidupan, kami disatukan oleh satu rasa yang sama… sayangkan BASS," kongsinya.
Dalam perkongsian sama, TBO turut menitipkan doa agar hubungan Bella dan Syed Saddiq sentiasa dilindungi, rumah tangga mereka diberkati serta kebahagiaan keluarga itu berkekalan hingga ke syurga.
Sebelum ini, TBO turut berkongsi bahawa mereka telah mewakafkan sebuah perigi untuk kegunaan penduduk kampung di Guinea, Afrika sebagai hadiah perkahwinan Bella dan Syed Saddiq.
Terdahulu, Bella selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi 10 Oktober lalu..
Majlis akad nikah dikendalikan Dr Zulkifli dengan berwalikan bapa Bella Astillah, Awang Astillah Abdullah@ Dullah serta dua orang saksi, Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.
Pada hari istimewa itu, Bella dan Syed Saddiq mengenakan busana rekaan pereka fesyen terkenal Zaimi Zulkafli.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM500 dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan daripada pihak wanita. Lebih menarik Bella dan Syed Saddiq menjadi pasangan pertama yang disatukan sebagai suami isteri di bangunan ikonik Malaysia, Merdeka 118 Precinct.
Majlis bertema Islamic Arabic dihadiri 255 jemputan termasuk keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua belah pihak.
Sumber: Instagram