Skip to main content

Berita Tempatan

Selesai GV12, Nubhan Lancar Lagu Baru 'Andai Derita' - "Untuk Mereka Pujuk Hati Dalam Diam..."

nubhan

Sekilas

  • Nubhan lancar single terbaru berjudul 'Andai Derita' selepas beberapa tahun tanpa rakaman baru, mengisahkan tentang kesetiaan dan redha dalam cinta yang dikhianati.
  • Lagu ini membawa mesej tentang menerima derita dengan tenang tanpa perlu meluahkan amarah atau dendam, sesuai untuk mereka yang pernah terluka dalam diam.
  • 'Andai Derita' kini boleh didengari di semua platform digital sejak 16 Januari 2026, dengan video muzik akan menyusul di Youtube Luncai Emas.

Selepas tampil dalam program realiti popular Gegar Vaganza 12, penyanyi bersuara gemersik, Nubhan meneruskan langkah seninya dengan pelancaran single terbaharu berjudul 'Andai Derita'.

Selepas beberapa tahun tanpa rakaman terbaru, kini single ‘Andai Derita’ hadir sebagai sebuah naskhah nyanyian Nubhan yang mengisahkan seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaan yang diberi telah dikhianati.

Ia bukan tentang amarah yang diluahkan, juga bukan dendam yang dilaungkan, sebaliknya tentang cinta yang memilih untuk diam, bertahan dan akhirnya redha.

Senikata lirik dalam lagu ini seperti "Demi bahagiamu, biarku pergi sayang", merujuk sebuah doa yang tidak pernah terucap manakala melodinya memeluk hati mereka yang pernah terluka dalam senyap. Setiap bait seakan mengajak pendengar untuk mengakui bahawa tidak semua kesakitan perlu dijelaskan.

"Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini saya hadirkan sebagai teman untuk mereka yang memujuk hati dalam diam. Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda," jelas Nubhan.

Terdahulu, Nubhan salah seorang pelajar Akademi Fantasia musim ke-6 dan mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz & Toi. Nubhan mengetengahkan kariernya sebagai artis dalam irama pop & balada melayu dengan beberapa lagu hit seperti Oh Juwita , dan juga lagu duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi (2021), selain menceburi bidang usahawan dan Content Creator di Media Sosial

Single 'Andai Derita' merupakan karya nyanyian Nubhan di bawah edaran label rakaman Luncai Emas, serta hak cipta lagu dan liriknya turut ditadbir oleh Luncai Emas.

Dengan kerjasama Luncai Emas, ia menjadi platform strategik buat penyanyi ternama seperti Nubhan untuk meneruskan perjalanan kerjaya seninya secara konsisten dalam industri muzik tempatan.

Single 'Andai Derita' kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music bermula 16 Januari 2026 dan sebuah video muzik akan berada di Youtube Luncai Emas tidak lama lagi.

Must-Watch Video

Advertisement