Sekilas
- Konsert Gema Bumantara oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional membawa muzik tradisional ke pentas besar dengan sentuhan moden dan kolaborasi artis terkenal.
- Acara ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga usaha mengangkat warisan muzik tradisional Malaysia agar terus relevan dan dihargai generasi kini dan akan datang.
- Gema Bumantara membuka ruang untuk khalayak merasai dan menafsir muzik tradisional mengikut pengalaman masing-masing, sambil mengekalkan identiti budaya dalam budaya popular masa kini.
Lupakan tentang kekerapan Datuk Seri Siti Nurhaliza melakukan konsert berskala besar sejak beberapa tahun terakhir. Jangan gaduh-gaduh tentang Siti lagi, Siti lagi atau saling melempar ‘bom perang’ tentang busana serta hal-hal sepele di media sosial.
Kerana ironi, bukan biduanita ini tidak sedar atau mafhum dengan pandangan yang dilontarkan peminat di beragam platform media sosial, namun merealisasikan hasrat mengadakan sebuah konsert tradisional adalah sebuah keputusan epik.

Ia merupakan keputusan terbesar yang bukan sekadar bersifat eksperimen oleh Siti yang telah memberi komitmen luar biasa (melihat potongan video kegigihan latihan dan punca mukanya lebam) tetapi merupakan keputusan pragmatik yang membawa kepada ekamatra muzik Nusantara, sekali gus mengangkat martabat rentak warisan ke satu dimensi global."
Begitu gambaran awal yang boleh penulis berikan kepada Gema Bumantara, konsert yang megah berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil malam 17 Oktober lalu. Menerusi edisi konsert julung kali, Gema Bumantara telah dan masih meninggalkan kesan yang mendalam bukan hanya buat peminat tetapi impak kepada industri seni hiburan Nusantara.
Siti di Gema Bumantara benar-benar telah membuktikan secara langsung atau tidak bahawa muzik adalah medium seni yang selalu menyatukan semua ; daripada para pemerintah sehingga rakyat jelata berbilang bangsa dan lintas generasi, duduk sebelah-menyebelah, sanggup basah dan kuyup dengan rintik hujan lalu menikmati konsert tersebut dengan cara masing-masing.

Di sebalik busana tradisional yang digayakan, malah ada yang tidak saling kenal dan baru menjadi sahabat setelah sama-sama menari mengikut rentak lewat indahnya alunan muzik tradisional yang dipersembahkan bersama sentuhan pengarah muzik tersohor termasuk Chaan.

Penulis juga mengambil kesempatan duduk di trek lapangan kerana ‘tidak kuat’ kebasahan secara tidak sengaja menyerap tenaga peminat ; sama-sama menyumbang suara antaranya lewat lagu popular seperti Badarsila, Balqis, Rencong, Nirmala, Hati yang Rindu, Kesuma, Di Batas Masa, Masri Manis, Kurik Kundi, Syahadah, Ya Maulai, Walinong Sari dan Cindai cuba menari tetapi canggung namun itu bukan masalah kerana selama lebih dua jam konsert berlangsung, yang didapatkan oleh lebih 60, 000 peminat bukan pengalaman biasa.
Sebaliknya di sinilah Gema Bumantara wajar dibaca lebih jauh daripada sebuah kejayaan mengumpulkan ribuan penonton di bawah satu bumbung. Bukan juga tentang sejarah melihat King Nassar yang menyifatkan dirinya telah ‘naik darjat’ kerana diberi kesempatan menyapa peminat Siti lewat duet termasuk Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan hitnya, Seperti Mati Lampu.

Atau betapa merdu gemersik suara Lesti Kejora lewat Zapin Melayu yang dicipta Allahyarham Pak Ngah, juga indahnya alunan suara Haziq Rosebi yang kaya dengan lenggok tradisional saat berduet dengan Siti.


Dan betapa ikoniknya momen yang sangat dinantikan kolaborasi kembali Siti bersama legenda Noraniza Idris menerusi Dondang Dendang serta Hati Kama yang sudah lebih 25 tahun tidak didendangkan secara langsung dalam mempersembahkan muzik tradisional dalam skala besar.

Tetapi apakah makna yang lahir daripada pertemuan antara muzik, identiti budaya dan khalayak yang hadir dengan latar serta pengalaman masing-masing.
Pertama, penulis ingin menyentuh tentang ‘pahlawan’ yang telah membuat irama tradisional mekar. Seperti mana Siti mengucapkan terima kasih buat ibunda tercinta, Siti Salmah Bachik atau Mak Salmah yang memperkenalkannya kepada muzik tradisional lewat lagu Seri Mersing, barangkali kita tidak harus melupakan satu nama besar yang secara tidak langsung menjadi antara tulang belakang kepada lahirnya semangat Gema Bumantara iaitu Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.
Pemergian komposer tersohor itu pada 2018 secara tidak langsung telah meninggalkan kekosongan besar dalam dunia muzik tradisional tanah air. Namun, warisan seninya tidak pernah benar-benar terhenti. Sebaliknya, roh perjuangan Pak Ngah seakan-akan kembali bergema menerusi Gema Bumantara, sebuah pentas yang memperlihatkan bagaimana irama tradisional terus diraikan dalam landskap muzik kontemporari.
Masakan tidak, Pak Ngah merupakan antara individu penting yang membentuk perjalanan awal Siti dalam memperjuangkan irama Malaysia sekaligus sentuhan kreatif Allahyarham bukan sekadar menghasilkan lagu popular tetapi turut membina identiti muzik yang mempertemukan keindahan tradisi dengan cita rasa khalayak arus perdana.
Justeru, melihat Gema Bumantara dari perspektif yang lebih luas, konsert ini seperti menjadi kesinambungan kepada sebuah perjuangan seni yang telah dirintis puluhan tahun dahulu. Pak Ngah mungkin tidak lagi berdiri di belakang pentas untuk menyusun melodi atau mengarah persembahan, namun jejak pemikirannya dalam mengangkat martabat muzik tradisional masih dapat dirasakan melalui karya dan legasi yang terus dihidupkan oleh generasi selepasnya.

Keduanya, Gema Bumantara memperoleh makna yang lebih mendalam. Ia bukan semata-mata tentang Siti Nurhaliza sebagai seorang biduanita yang menguasai pentas besar, tetapi juga tentang bagaimana sebuah warisan muzik terus menemukan kehidupan baharu, merentas zaman dan generasi tanpa memutuskan hubungan dengan akar budayanya.
Warisan yang Hidup dalam Ruang Budaya Popular Masa Kini
Dalam konteks ini, penulis suka merujuk kepada gagasan representasi yang dikemukakan oleh ahli teori budaya Stuart Hall memberikan satu sudut pandang yang menarik. Menurut Hall, budaya bukan sekadar sesuatu yang dipersembahkan untuk ditonton, sebaliknya turut dibentuk melalui simbol, imej, bahasa dan amalan yang membawa makna kepada masyarakat.
Maka, apabila muzik tradisional diangkat ke pentas sebesar Gema Bumantara, yang dipersembahkan bukan hanya susunan melodi dan keindahan vokal, tetapi juga suatu gambaran tentang bagaimana warisan boleh terus hidup dalam ruang budaya popular masa kini.

Namun, makna sesebuah persembahan tidak semestinya berakhir pada apa yang ingin disampaikan oleh artis. Dalam gagasan encoding/decoding Hall menjelaskan mesej yang dibentuk oleh penghasilnya (encoding), boleh ditafsirkan secara berbeza oleh khalayak (decoding).
Oleh yang demikian, penulis menyifatkan dalam konteks Gema Bumantara, barangkali ada yang pulang dengan rasa bangga terhadap warisan muzik sendiri, ramai yang menemukan nostalgia terhadap lagu dan irama yang dekat dengan kehidupan mereka, manakala sebahagian yang lain sekadar menikmati kehebatan vokal Siti dan kemeriahan sebuah konsert berskala besar.

Malah tidak mustahil juga yang pulang hampa kerana barangkali apa yang dipertonton dan didengar tidak sesuai ekspektasi. Perbezaan tafsiran itu bagaimanapun tidak semestinya mengurangkan makna konsert. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana muzik mampu membuka ruang pertemuan antara pengalaman peribadi dengan pengalaman kolektif. Penonton tidak perlu mempunyai pemahaman yang seragam tentang warisan untuk berkongsi ruang, menyanyikan lagu yang sama atau bergerak mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Barangkali, di situlah terletaknya kekuatan Gema Bumantara; sebuah persembahan yang memberi ruang kepada khalayak untuk menemukan makna mereka sendiri melalui muzik yang dikongsi bersama.

Lebih penting, usaha membawa muzik tradisional ke pentas arus perdana menimbulkan satu persoalan yang wajar direnungkan oleh industri seni hiburan. Adakah warisan hanya akan diberikan perhatian apabila diolah menjadi sebuah acara besar atau mampukah minat yang tercetus melalui konsert seperti ini diteruskan melalui penghasilan karya, penerokaan muzik dan ruang persembahan yang lebih konsisten?
Kejayaan sesebuah konsert tidak semestinya menjamin kelangsungan warisan tetapi ia boleh menjadi titik mula untuk khalayak kembali mendengar, mengenali dan mempersoalkan nilai muzik yang mungkin selama ini dianggap terlalu dekat dengan masa silam.
Justeru, Gema Bumantara tidak harus dinilai hanya melalui kemegahan pentas, jumlah penonton atau kemampuan Siti menguasai sebuah stadium. Nilainya juga terletak pada ruang yang dibuka puspita hati itu untuk muzik tradisional berinteraksi dengan khalayak baharu, tanpa kehilangan kesempatan untuk ditafsirkan semula mengikut zaman.

Jika malam itu membuktikan ribuan manusia masih sanggup berhimpun di dalam hujan demi menikmati muzik yang berakar daripada tradisi, cabaran seterusnya adalah memastikan gema tersebut tidak terhenti apabila lampu pentas dipadamkan.
Gema tersebut harus terus menjadi pantulan bunyi yang berulang dan kedengaran jelas agar dunia tahu Malaysia memiliki seni tradisi yang cukup hebat dan tidak terkalahkan dengan genre pop, balada atau rock yang selalu menjadi pilihan pendengar dunia.