Penyanyi terkenal Indonesia, Lyodra mempunyai cara tersendiri untuk mempelajari Bahasa Malaysia.
Menurut Lyodra, dia merupakan peminat tegar siri animasi, Upin & Ipin sejak kecil dan secara tidak langsung itu merupakan salah satu faktor yang membantunya untuk mempelajari Bahasa Malaysia dengan lebih mudah dan lancar.
Advertisement
Malah katanya Upin & Ipin juga adalah antara kenangan masa kecil yang tidak akan dilupakan.
“Saya merupakan peminat upin ipin dan sangat suka menonton cerita animasi itu sejak kecil jadi mungkin sebab itu saya dah boleh berbahasa Melayu.
“Saya akan tonton setiap kali pulang dari sekolah, balik sahaja pasti nak tonton cerita itu dulu. Saya memang tonton yang versi original Malaysia.
“Boleh dipanggil sebagai animasi childhood saya. Setiap kali saya dengar orang sebut pasal Malaysia, dalam fikiran saya terus kata Upin Ipin!
“Saya sukakan animasi itu sebab saya rasa karakter mereka berdua itu lucu dan comel. Upin dan Ipin bersama teman-temannya.
“Rasanya animasi itu juga adalah tontonan mereka yang sebaya saya, mungkin budak budak zaman sekarang kurang mengenali mereka.
“Cuma bagi kanak kanak sezaman saya, tahun 2000-an, animasi itu merupakan tonton kami,” ujarnya.
Lyodra berkongsi perkara itu menerusi sidang media Konsert Healing 2026 yang diadakan di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Lyodra juga percaya bahawa lawatan kerapnya ke Malaysia turut membantu meningkatkan kefasihannya dalam Bahasa Malaysia.
“Sekarang saya sudah tidak menonton sebab dah dewasa, tetapi kalau ada disiarkan di depan mata saya tak akan skip, tetap akan tonton juga.
“Ada beberapa babak yang saya siap hafal dalam episod animasi itu, antaranya bila mereka berdua buat wau, tentang mereka ketika dikelas.
“Selain Upin Ipin, rasanya jika saya kerap datang ke Malaysia, pertuturan saya juga akan menjadi semakin bagus dan lancar,” kongsinya.
Selain Lyodra, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari depan itu juga turut menampilkan penyanyi Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah selain seorang lagi penyanyi Indonesia iaitu kumpulan Kangen Band.
Konsert Healing Night 2026 mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC sebagai inisiatif yang mampu memperkenalkan budaya serta keunikan seni di Malaysia.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web Ticket2u dengan harga bermula RM190 sehingga RM950.