Skip to main content

Berita Tempatan

Semangat! Nabila Razali Pun Turun Raikan Hari Pertama Buka Sekolah - "Saya Harap..."

nabila_sekolah

Sekilas

  • Pada hari pertama sesi persekolahan, Nabila Razali melawat Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine, Kajang untuk menyantuni pelajar dan guru.
  • Beliau mempersembahkan lagu #BalasBaik yang membawa mesej positif tentang kebaikan, empati, dan saling menghargai.
  • Nabila berharap kunjungan dan lagu tersebut dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk memulakan tahun akademik dengan nilai murni dan semangat kebaikan.

Bersempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara, penyanyi popular Nabila Razali meluangkan masa menyantuni warga sekolah dengan membuat kunjungan istimewa ke Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine, Kajang, sekitar jam 10.00 pagi.

Kehadiran Nabila disambut meriah oleh pelajar, guru serta kakitangan sekolah, sekali gus menceriakan suasana hari pertama persekolahan yang penuh makna.

Pada kunjungan itu, Nabila turut mempersembahkan lagu #BalasBaik, yang sarat dengan mesej positif mengenai kebaikan, empati dan saling menghargai sesama insan.

Nabila berharap mesej yang dibawakan dalam lagu berkenaan dapat menjadi inspirasi buat pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan nilai-nilai murni, sikap saling menghormati serta semangat untuk menyebarkan kebaikan dalam kehidupan seharian.

"Hari pertama sekolah adalah permulaan baharu yang sangat penting, terutamanya buat adik-adik yang sedang membina jati diri dan masa depan mereka.

"Saya berharap lagu #BalasBaik dapat menjadi peringatan bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan, walaupun kecil, mampu memberi kesan besar kepada orang lain,” katanya.

Tambah Nabila lagi, sekolah adalah tempat terbaik untuk menyemai nilai empati, toleransi dan kasih sayang sejak usia muda.

"Kalau kita dibiasakan untuk membalas sesuatu dengan kebaikan, saya percaya persekitaran sekolah dan masyarakat akan menjadi lebih harmoni. Itu juga mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui lagu ini,” ujarnya.

Inisiatif ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen Nabila dalam menggunakan platform seninya bukan sekadar untuk hiburan, malah sebagai medium penyampaian mesej positif kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Kunjungan itu diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar dan guru, meninggalkan kenangan manis pada hari pertama persekolahan serta suntikan semangat buat para pelajar untuk memulakan tahun akademik baharu dengan penuh keyakinan dan nilai kebaikan.

Must-Watch Video

Advertisement