Sekilas
- Mia Ahmad berkongsi bahawa perkahwinannya dengan Izham Tarmizi penuh dengan cabaran dan ujian sepanjang sembilan tahun bersama.
- Dia mengakui pernah berasa putus asa dan tidak cukup berusaha, namun terus belajar dan memperbaiki hubungan mereka sebagai satu proses penting dalam perkahwinan.
- Mia dan Izham berkahwin pada 2017 dan dikurniakan empat cahaya mata, dengan Mia menyatakan tahun 2026 adalah tahun untuk versi dirinya yang baharu.
Pelakon, Mia Ahmad menyifatkan perkahwinannya bersama bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan penuh dengan liku dan ujian.
Menerusi perkongsian di Intagram (IG), Mia atau nama lengkapnya Samihah Ahmad Baderi dilihat memuat naik momen dirinya dan suami menyertai satu seminar yang dikendalikan pakar motivasi terkenal, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad.
Ujar Mia, dia tidak menafikan bahawa pernah berada di fasa putus asa dalam perkahwinan yang penuh dengan cabaran sepanjang sembilan tahun berumah tangga.
“Hampir sembilan tahun kami bersama. Pernah rasa give up, rasa hopeless. Pernah rasa tak cukup buat sehabis baik. Pernah rasa dah cukup buat sehabis baik tapi hati masih berbolak balik.
“Tanpa sebarang ilmu untuk memahami, mendengar dengan baik dan memaknai setiap yang berlaku, mungkin saya hanya pada tahap bertahan dalam perkahwinan,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, pelakon berusia 37 tahun ini menganggap setiap jalan cerita dalam perkahwinan merupakan satu perjalanan buatnya dan suami untuk belajar dan memperbaiki demi kesinambungan rumah tangga mereka.
“Inilah satu proses ibadah yang paling panjang. Ianya bukan seperti yang digambarkan di dalam filem ataupun media sosial tetapi ia satu bentuk perjalanan yang memerlukan kesedaran yang sangat tinggi.
“Niat yang baik, doa dan tindakan untuk terus belajar, aplikasikan dalam perkahwinan dan kehidupan. Belajar dan belajar lagi.
“Tahun 2026 adalah tahun buat Mia yang baharu. Saya bersedia, biiznillah,” ujarnya.
Sekadar info, Mia dan Izham mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sayf Issa, 6, Iriss, 4, Imaani, 2, dan seorang bayi lelaki.
Sumber: Instagram Mia Ahmad