Sekilas
- Konsert Sembilu The Reunion Live In Concert akan berlangsung pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Kuala Lumpur, menampilkan Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.
- Konsert ini akan membawakan 22 lagu ikonik dari era filem Sembilu dengan gubahan muzik oleh Aubrey Suwito serta elemen sinematik dan atmosfera khas.
- Tiket akan dijual mulai 8 Disember dengan pelbagai kategori harga melalui platform www.ticket2u.com.my/sembilu.
Cukup menjadi fenomena di layar lebar pada tahun 90-an, naskhah filem Sembilu milik Datuk Yusof Haslam akan direalisasikan di atas panggung dalam sebuah konsert berskala besar yang diberi nama Sembilu The Reunion Live In Concert.
Lebih mengujakan, penganjur, Ideatelier berjaya memujuk tiga figura utama yang telah menghidupkan Sembilu sehingga menjadi legenda sehingga masa kini.
Mereka adalah Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain ; yang ketiga-tiganya terlibat dalam francais Sembilu buat pertama kali dalam tiga dekad akan mendendangkan tembang hit mereka dalam sebuah konsert.
Konsert penuh nostalgia ini dijadual berlangsung pada 7 Februari 2026, bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Bercakap mengenai Sembilu The Reunion Live In Concert, Awie mengatakan bersetuju untuk terlibat sama kerana ia turut disertai dua heroinnya, Erra dan Ziana. Malah vokalis Wings itu tidak gentar meski penganjur pertama kali menganjurkan konsert.
“Saya setuju kerana Erra dan Ziana setuju. Dan kenapa saya terima lamaran ini walaupun ia agak ‘kerja gila’ kerana saya terlibat dengan konsert Wings seminggu sebelum Sembilu The Reunion Live In Concert kerana percaya dengan orang seni,” ujar Awie.
Erra yang hadir sama dalam majlis pengumuman Sembilu The Reunion Live In Concert di ibu kota mengatakan penyatuan mereka bertiga dalam konsert itu sebagai lambang terima kasih buat peminat.
“Penyatuan kami bertiga dalam Sembilu The Reunion Live In Concert adalah lambang terima kasih kepada peminat yang menyokong kami selama 30 tahun. Saya harap konsert ini dapat mengimbau kenangan peminat,” katanya.
Bagi Ziana pula, meski konsert akan berlangsung dalam tempoh dua bulan, beliau percaya dengan tim yang baik serta promosi yang kuat, Sembilu The Reunion Live In Concert dapat dilaksanakan seperti yang direncana pada 7 Februari kelak.
“Sebenarnya saya pun rindu nak bergabung dengan Erra dan Awie. Allah makbulkan melalui penyatuan kami dalam konsert ini. Jadi saya harap penonton datang dengan tiga generasi nanti,” ujar Ziana.
Nostalgia Sembilu
Buat penganjur, persetujuan ketiga-tiga pesohor ini membuat impian mengembalikan nostalgia Sembilu sebagai sebuah hadiah manis, sementelah projek mega tersebut mendapat restu daripada Yusof Haslam.
“Sebagai seorang pereka fesyen yang sudah 15 tahun bekerja di belakang tabir, membuat imej artis, saya juga belajar tentang pembikinan konsert.
“Jadi saya berikan jiwa pada Sembilu The Reunion Live In Concert dan kena pastikan Erra, Awie dan Ziana setuju untuk menjayakannya.
“Tapi paling penting saya bertemu Yusof Haslam terlebih dahulu untuk meminta restu dan izin beliau menganjurkan konsert dengan memakai jenama Sembilu,” ujar Ezuwan Ismail.
Menampilkan konsep dengan 22 buah lagu ikonik daripada era kegemilangan filem Sembilu, konsert ini akan dipimpin oleh Aubrey Suwito. Selain gubahan lagu malam itu akan membawa pengalaman bunyi yang luar biasa, peminat juga akan disajikan dengan sinematik dan atmosfera Sembilu.
Untuk itu, jangan terlepas mendapatkan tiket dalam kategori Zon Sembilu: RM1389 , Zon Di Ambang Wati: RM689, Zon Anggapanmu : RM489, Zon Cinta Abadi: RM349, Zon Halaman Asmara: RM289, Zon Tragedi Oktober: RM249 dan Zon Pasrah: RM149 bermula 8 Dis ini melalui platform www.ticket2u.com.my/sembilu bermula jam 12 tengah hari.