Sekilas
- Ibu penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman, berkongsi bahawa anak-anaknya gembira dan menyokong keputusan beliau untuk berkahwin kali kedua dengan Brigedier General Tuan Zainal Abidin Muhammad Saleh.
- Segala persiapan perkahwinan diuruskan oleh Shila Amzah sendiri, dan Fauziah mendedahkan dia tertarik dengan personaliti serta senyuman Zainal.
- Fauziah pernah berkahwin dengan ND Lala selama 34 tahun sebelum bercerai pada Ogos 2023, dan telah melangsungkan perkahwinan kedua pada November lalu.
Ibu kepada penyanyi, Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman memaklumkan anak-anaknya terbuka dan gembira dengan keputusannya untuk mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Brigedier General Tuan Zainal Abidin Muhammad Saleh.
Kata Fauziah segala persiapan diuruskan oleh anaknya, Shila Amzah.
“Anak-anak semua okay walau mereka gak berjumpa. Anak-anak saya kata, mereka sudah rasa gembira melihat ibu mereka bahagia. Pada mereka saya jumpa orang yang baik sebab buat saya gembira.
“Untuk persiapan semua Shila yang buat. Dah macam dia mak pengantin. Semua anak juga teruja bila saya berkahwin,” kongsinya kepada Gempak.
Fauziah memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran album terbaharu Shila Amzah, SA25 di DPAC, Damansara pada Selasa.
Ditanya mengenai apakah penyebab dirinya terbuka hati untuk bergelar isteri, Fauziah mendedahkan personaliti Zainal yang menarik telah memikat hatinya.
“Mungkin ketika tu pun saya tengah kosong, tak ada siapa-siapa jadi saya terbuka.
“Selain itu saya tertarik dengan senyuman dia. Yang kedua mungkin sebab dia suka bagi pick up line,” katanya.
Sekadar info, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon ND Lala pada tahun 1989. Namun, pasangan itu mengambil keputusan untuk bercerai selepas 34 tahun hidup bersama.
Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram, Fauziah memberitahu bahawa lafaz cerai dilakukan suaminya pada 2 Ogos 2023 lalu di sebuah masjid.
Fauziah kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama jejaka pilihannya, Zainal Abidin pada 22 November lalu.