Hantaran yang diletak dalam satu talam dan ditandu pada majlis pernikahan Erra Fazira dan Ezwan atau Mr E menjadi tumpuan buat tetamu yang hadir meraikan pasangan mempelai.
Antara hantaran yang disatukan dalam satu talam tersebut termasuk sepohon pokok emas seberat 102 gram, sepersalinan emas, tas tangan, kasut dan jam tangan.
Ezwan memilih pokok ufti bunga emas tradisi masyarakat melayu abad ke-14 yang dipenuhi 24 keping dinar emas istimewa buat ratu hatinya, Erra sebagai tanda kasih sayang seorang suami kepada isteri.
Hantaran yang dikumpulkan dalam satu talam itu disifatkan sebagai simbolik cinta abadi pasangan yang selamat dinikahkan sekitar pukul 9.30 pagi di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.
Selain hantaran yang disatukan dalam talam, Erra menerima sebentuk cincin Cartier sebagai lambang penyatuan mereka.
Terdahulu Erra sah menjadi isteri Ezwan pada tanggal 12 Disember 2025 oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Bin Noordin.
Ini merupakan pernikahan ketiga buat Erra dan kedua Ezwan yang merupakan seorang usahawan.