Kecoh di media sosial apabila warganet mendapati pelbagai produk berunsurkan ilmu hitam dan amalan mistik dijual secara terbuka di platform e-dagang popular.
Antara barangan yang tular termasuk Minyak Pengasihan Cinta Untuk Gambar, Ilmu Kedukunan (ebook), Minyak Cenuai 7 Purnama Limited Edition, serta Minyak Pengasih dan Pemikat Buluh Perindu Original.
Advertisement
Lebih mengejutkan, setiap produk berkenaan turut disertakan dengan penerangan terperinci tentang ‘keistimewaan’ dan ‘cara penggunaan’ untuk memikat, menundukkan atau menawan hati seseorang.
Selain itu, ada juga beberapa akaun yang menawarkan khidmat rawatan penunduk kekasih dan pasangan curang, lengkap dengan testimoni pelanggan yang mendakwa khidmat tersebut berkesan.
Perkara itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan bagaimana produk berunsurkan khurafat dan tahyul boleh dijual secara terbuka di platform yang dikawal selia.
“Macam tak masuk akal boleh lulus jualan benda macam ni… patutnya pihak berkuasa pantau.
“Astaghfirullahalazim khurafat, syirik ni,” komen beberapa netizen.
Sementara itu, ada yang menyifatkan kewujudan produk sebegini sebagai bukti bahawa kepercayaan terhadap ilmu sihir masih berakar umbi dalam masyarakat moden, biarpun dalam era digital.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak platform e-dagang berkenaan mengenai penjualan produk tersebut.