Skip to main content

Selebriti

Serik Insiden Kerusi Ditarik, Puteri Rafasya Dalam Proses Penyembuhan - “Manusia Tak Lari Daripada Kesilapan, Boleh Terpengaruh Hasutan Syaitan”

Serik Insiden Kerusi Ditarik, Puteri Rafasya  Dalam Proses Penyembuhan

Pelakon remaja, Puteri Rafasya mengakui dia kini lebih menitikberatkan soal keselamatan ketika bekerja selepas terbabit dalam kemalangan di set penggambaran dua tahun lalu.

Mengakui masih lagi trauma selepas kejadian itu, Puteri, 14, berkata dia berasa bimbang dan lebih berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak lagi berulang.

Advertisement

“Saya masih trauma, terutama bila masuk set penggambaran semula. Sebelum kejadian saya langsung tak ada fikiran negatif.

“Tapi sekarang setiap kali berada di set, saya akan lebih berjaga-jaga dan berhati-hati.

“Jangan bergurau atau bergaduh secara kasar, terutama bila bekerja di set.

"Jaga diri sendiri dan orang lain juga, sebab kadang-kadang kita tak sedar manusia memang tak lari daripada kesilapan dan boleh terpengaruh dengan hasutan syaitan,” ujarnya.

Puteri berkata demikian ketika ditemui di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Puteri juga memaklumkan dia enggan mengenang kembali detik hitam yang pernah menjejaskan tahap kesihatannya itu.

“Kejadian itu berlaku semasa penggambaran dan saya tak nak ingat lagi. Sekarang saya masih dalam proses penyembuhan.

"Tapi bagi saya, sekarang dah sihat dan bertenaga, saya pun dah tak dapatkan rawatan doktor.

"Cuma saya masih belum boleh angkat berat lagi,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun 2023, Puteri cedera ketika menjalani latihan bagi salah satu adegan drama Jaga Aku Selamanya selepas kerusinya ditarik oleh seorang kanak-kanak tidak dikenali.

Akibat kejadian itu, Puteri jatuh terduduk dan tidak dapat bergerak selain kakinya tidak boleh diluruskan.

Must-Watch Video

Advertisement