Sekilas
- Sharmaine Alexander mengubah gaya hidup dan pemakanan dengan mengurangkan nasi dan mengelak daging merah untuk kawal masalah kulit serius yang dialaminya.
- Selain itu, dia memperbanyakkan senaman dan mengawal stres sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan secara menyeluruh.
- Sharmaine menafikan dakwaan suntikan filler dan menjelaskan perubahan wajahnya disebabkan oleh penyakit kulit psoriasis yang dihidapinya.
Pelakon dan personaliti media sosial, Sharmaine Alexander memaklumkan masalah kulit serius yang dialaminya sebelum ini mendorong dia untuk mengubah gaya hidup serta pemakanan bagi memastikan penyakit tersebut dapat dikawal.
Menurut Sharmaine, antara perubahan yang dilakukan termasuklah dengan mengurangkan pengambilan nasi serta tidak mengambil daging merah sepanjang tempoh setahun.
“Perubahan yang saya buat ialah selama setahun saya kurang makan nasi dan langsung tak makan daging merah.
“Kalau keadaan kulit sudah teruk macam saya, kita kena kurangkan makanan yang biasa kita makan. Saya cuma makan salmon, buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya kepada Gempak.
Sharmaine berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-38, di Ombak KLCC, pada Sabtu.
Selain menjaga pemakanan, juara Dewi Remaja ini turut melakukan perubahan gaya hidup dengan cara memperbanyakkan senaman serta mengawal stres.
“Saya pergi klinik pakar dan ubah gaya hidup secara 360 darjah. Saya mula bersenam dan kurangkan stres.
“Stres itu kita tak boleh hilangkan sepenuhnya, tetapi kita perlu dan boleh kawal,” tambahnya.
Bercerita lanjut, Sharmaine mengakui dia pernah hampir berputus asa dengan penyakit yang dialaminya itu namun, memilih untuk terus bangkit demi ibunya yang tercinta.
“Pada mulanya, saya rasa hampir nak berputus asa tetapi apabila tengok mak saya sakit-sakit dan fikir tiada orang akan tanggung keluarga nanti, saya macam kena bangun semula.
“Daripada bulan Mac hingga Jun, keadaan memang teruk. Selepas itu saya cuba makan ubat dan macam-macam rawatan, tetapi masih tiada perubahan. Jadi, saya ambil keputusan untuk ubah gaya hidup,” katanya.
Sebelum ini, Sharmaine pernah meluahkan rasa kecewa selepas didakwa menjalani suntikan filler pada wajah sehingga penampilannya dikatakan kelihatan lebih berusia daripada usia sebenar.
Menepis dakwaan itu, Sharmaine menjelaskan bahawa perubahan pada wajah berpunca daripada penyakit kulit psoriasis yang dihidapinya.