Skip to main content

Viral

Setia Santuni Bapa Tiri, Roslan Shah Anggap Saham Akhirat - "Saya Tak Sampai Hati Hantar Ke Rumah Jagaan"

roslan_shah

Sekilas

  • Roslan Shah atau Cik Lan tetap utamakan tanggungjawab menjaga bapa tirinya walaupun sibuk dengan kerjaya seni yang padat.
  • Beliau menguruskan keperluan harian bapa tirinya termasuk memandikan, memberi ubat dan suntikan insulin, dengan bantuan keluarga bila perlu.
  • Selain aktiviti seni, Cik Lan juga aktif dalam rakaman lagu raya, program televisyen dan perniagaan sepanjang musim perayaan tahun ini.

Meskipun sibuk dengan jadual seni yang padat dan rezeki undangan persembahan yang tidak putus-putus, pelakon, penyanyi dan pengacara versatil Roslan Shah atau mesra disapa Cik Lan tetap meletakkan keluarga sebagai fokus utama dalam hidupnya.

Bagi Cik Lan, sebarang kejayaan dalam bidang seni tidak bermakna tanpa tanggungjawab terhadap insan tersayang, apatah lagi amanah menjaga bapa tirinya, Muhammad Norani Muhammad Esa, 72, yang kini memerlukan perhatian sepenuh masa.

Menurut Cik Lan, rutin hariannya bermula dan berakhir dengan menguruskan keperluan bapa tirinya, termasuk memandikan, menyediakan makanan, memberi ubat serta menyuntik insulin di bahagian perut sebanyak dua kali sehari.

“Walaupun sibuk dengan kerja seni, tanggungjawab menjaga bapak tetap nombor satu. Setiap hari saya uruskan mandi, makan ubat dan cucuk insulin. Itu memang rutin saya,” katanya.

Tambahnya, jika terpaksa berada di Kuala Lumpur atau menghadiri persembahan di luar kawasan, tanggungjawab tersebut akan diambil alih oleh abang serta adik-beradik lain.

“Kalau saya ada urusan kerja di KL atau luar, abang dan adik-beradik akan tolong jaga. Apa yang penting, saya pegang amanah arwah mak supaya jaga bapak. Itu pesan terakhir arwah pada saya,” ujarnya.

Cik Lan mengakui tidak pernah terlintas untuk menghantar warga emas itu ke pusat jagaan kerana sudah terbiasa dan selesa menguruskan orang tua sendiri.

“Dulu saya jaga arwah mak, sekarang jaga bapak pula. Saya anggap ini saham akhirat. Sejujurnya saya gembira jaga orang tua. Saya memang tak sampai hati nak hantar ke rumah jagaan,” katanya.

Terdahulu, perkongsian video Cik Lan menguruskan bapa tiri menjadi perhatian di laman sosial.

"Bapa tiri Cik Lan. Walaupun sibuk macam mana pun, Cik Lan kena jaga, anggap macam bapa sendiri," tulisnya di ruangan kapsyen.

Di ruangan komen, ramai memuji kemuliaan hati Cik Lan menguruskan warga emas biarpun sibuk dengan kerjaya.

 

@realroslanshah

Bapak Tiri Cik lan....Walaupun sibuk mana pun ...Cik lan kena jaga anggap macam bapak sendiri...amin

♬ original sound - Roslan Shah - Cik Lan

 

Dalam pada itu, kerjaya seninya terus berkembang pesat menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Tahun ini, Cik Lan bakal merakam dua lagu raya baharu dengan sesi rakaman dijadualkan sebelum puasa.

Sebuah lagu berjudul Sassuey Raya (Jangan Bikin Malu) diterbitkan Impact Music Malaysia dengan edaran Universal Music Malaysia, manakala sebuah lagi lagu berjudul Terlepas Bas Raya hasil ciptaan Akie TheFlow.

Selain itu, Cik Lan turut selesai menjalani rakaman program televisyen Suria Sinar Lebaran 2026 atas jemputan stesen Mediacorp Singapura yang akan disiarkan pada malam raya nanti.

Jadualnya juga dipenuhi undangan majlis berbuka puasa serta persembahan di Singapura dan Malaysia.

Malah, Cik Lan turut membuka booth perniagaan di Bazaar Geylang, Admiralty dan Expo sepanjang musim perayaan.

Akibat kekangan masa, Cik Lan terpaksa menolak beberapa tawaran termasuk rakaman program MeleTOP Raya 2026 di Astro.

“Memang teringin nak buat semua, tapi jadual terlalu padat. Ada yang terpaksa saya tolak. Apa pun, saya bersyukur rezeki sentiasa ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cik Lan juga baru selesai penggambaran sitkom komedi Warong Kopi Melekek yang bakal ditayangkan di TV1 menerusi penampilan istimewa satu episod.

Tawaran persembahan nyanyian, majlis makan malam dan acara korporat juga terus mencurah sehingga jadualnya sudah ditempah penganjur hingga Disember 2026, termasuk sebagai pengacara.

Malah, Cik Lan masih mempertimbangkan sama ada sempat menghasilkan muzik video untuk lagu raya terbaharunya, selain menerima tempahan ulasan Ramadan di TikTok.

Program YouTube kendaliannya, Night Walk, yang menjalani penggambaran di MBK Film Studio pula terus bersiaran setiap Isnin jam 11.59 malam dengan penampilan artis jemputan seperti Yassin Senario, Que Haidar, Shah Iskandar dan Kamal Adli.

Bagaimanapun, sepanjang Ramadan nanti, Cik Lan merancang untuk berehat seketika daripada penggambaran.

“Bulan puasa saya akan kurangkan aktiviti sikit, rehat sebulan. Tapi apa pun, walau sesibuk mana, urus bapak tetap keutamaan,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Must-Watch Video

Advertisement